SIARAN MEDIA : MAKLUMAN PENGAMBILAN MURID KE TINGKATAN 1 TAHUN 2023 RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR

Yayasan Selangor(YS) telah membuka permohonan kemasukan murid ke tingkatan 1 Tahun 2023 Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) mulai pada hari ini 03 Januari 2023 kepada murid Tahun 6 / 2022 yang layak mengikut kriteria ditetapkan seperti berikut:-

  1. Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 untuk semua matapelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah.
  2. Bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia atau sekolah swasta yang berdaftar di Kementerian Pendidikan Malaysia (keutamaan untuk murid luar bandar).
  3. Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun (pemastautin mesti mengisi Borang Pengesahan Pemastautin).
  4. Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita (pendapatan ibu bapa bahagi bilangan isi rumah) kurang RM2000.00 sebulan.
  5. Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia.
  6. Pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dan tidak menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my. Pemohon hendaklah mencetak borang permohonan yang telah diisi dalam talian dan dihantar berserta dengan dokumen yang diperlukan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 20 Januari 2023. Untuk maklumat lanjut berkaitan permohonan, boleh dirujuk di laman sesawang yang sama.

Untuk pengambilan tahun 2023 ini, Yayasan Selangor memperuntukkan sejumlah 500 tempat di 28 buah sekolah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pelbagai kemudahan ditawarkan kepada murid yang terpilih termasuk kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.

Semua murid Tahun 6 / 2022 negeri Selangor yang berkelayakan adalah dipersilakan untuk memohon tertakluk kepada syarat dan had kuota yang ditetapkan.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”

“SELANGOR MAJU BERSAMA”

Yayasan Selangor

03 Januari 2023

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2023-01-04T11:29:25+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY