KENYATAAN MEDIA : SINERGI INDUSTRI–PENDIDIKAN: YAYASAN SELANGOR PERKASA TVET DAN PROFESIONALISME NASIONAL

Yayasan Selangor (YS) terus memperkukuh mandatnya sebagai agensi peneraju pendidikan di Negeri Selangor melalui pemeteraian pelbagai kerjasama strategik dalam usaha memantapkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Langkah proaktif ini dirangka bagi memastikan kelestarian akses pendidikan berkualiti serta pembangunan modal insan yang berdaya saing, selaras dengan visi organisasi untuk membentuk generasi “Insan Kamil” yang mampu mendepani cabaran industri global masa kini.

Dalam memacu agenda pendidikan digital, Yayasan Selangor telah memeterai kerjasama dengan Al Motahida Education Group yang menyumbang tajaan bernilai RM10 juta bagi tahun 2026 untuk menyediakan akses pembelajaran dalam talian Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), kepada 10,000 orang pelajar serta penubuhan Perpustakaan Digital YS yang boleh diakses secara berterusan. Inisiatif teknologi ini diperkukuhkan lagi menerusi kolaborasi bersama Talent Pioneers Integrated Solutions (TPIS) yang menyalurkan tajaan berjumlah RM200,000 bagi memperkasa 100 orang guru melalui latihan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pedagogi serta perolehan persijilan Google Educator.

Selain itu, fokus terhadap pendidikan profesional dan antarabangsa turut dipertingkatkan melalui kerjasama dengan TYMBA Education Group dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia yang menawarkan Biasiswa Profesional kepada 1,000 orang guru serta profesional muda di seluruh Malaysia bagi memperoleh sijil profesional ACCA secara percuma. Pada masa yang sama, Taleem (M) Sdn Bhd melalui Templer Park International School turut memberikan sokongan dengan menawarkan penggunaan fasiliti sekolah antarabangsa mereka untuk tujuan latihan dan bengkel, selain memperuntukkan lima kuota pengajian berasaskan Kurikulum Cambridge secara percuma pada setiap tahun kepada calon tajaan Yayasan Selangor.

Bagi memperluas akses kemahiran teknikal dan vokasional, Yayasan Selangor telah bekerjasama dengan ATC College untuk mengoperasikan sebuah Akademi TVET di kompleks bangunan Kem PLKN Yayasan Selangor, Kuala Kubu Baharu, yang bakal menawarkan kursus kimpalan dengan persijilan tempatan serta antarabangsa, dengan perancangan masa hadapan untuk memperkenalkan bidang mekatronik dan sistem komputer. Usaha ini turut disokong oleh kolaborasi bersama DHS Hospitality Academy Sdn Bhd yang membuka peluang luas kepada belia melalui latihan berasaskan industri dan penempatan kerjaya dalam sektor hospitaliti yang merangkumi pemberian elaun sara hidup, program Pelatih Pengurusan di Singapura selama dua tahun, latihan industri di Kazakhstan selama 12 bulan, serta penawaran program Master of Business Administration, Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (MBA APEL.Q) secara percuma khusus buat penjawat awam di Negeri Selangor.

Kesemua rangkaian jalinan strategik ini diharapkan dapat merapatkan jurang pendidikan serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dalam memenuhi tuntutan pasaran kerja semasa. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor serta pelbagai program pendidikan yang ditawarkan boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di www.yayasanselangor.org.my.

Bahagian Komunikasi Korporat

Yayasan Selangor

Tarikh : 21 Februari 2026

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

2026-02-26T09:09:36+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY