KENYATAAN MEDIA : PELAJAR PROGRAM BITARA YAYASAN SELANGOR TERIMA BIASISWA PRESTIJ YTP MARA KE UNIVERSITI TERBAIK DUNIA

Yayasan Selangor (YS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada saudara Uqail Syahmi bin Azrol Nizal, pelajar tajaan penuh Yayasan Selangor di bawah Program Bitara, atas kejayaan cemerlang beliau terpilih sebagai penerima Biasiswa YTP MARA (International Baccalaureate).
Kejayaan ini membolehkan beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Sains di salah sebuah universiti bertaraf dunia yang tersenarai dalam kelompok 20 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings. Penganugerahan biasiswa yang menjadi rebutan ramai ini merupakan manifestasi kepada usaha gigih, disiplin yang tinggi, serta kecemerlangan akademik yang konsisten sepanjang pengajian beliau di Kolej Yayasan Saad, Melaka (KYSM).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Raja Nazirin Shah Bin Raja Mohamad, menyatakan bahawa pencapaian ini adalah bukti nyata keberkesanan komitmen serta pelaburan berterusan Yayasan Selangor dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwawasan
“Kejayaan saudara Uqail Syahmi mencerminkan peranan YS sebagai organisasi yang sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan negeri Selangor dan melahirkan modal insan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara,” ujar beliau, selaras dengan matlamat korporat Yayasan Selangor sebagai peneraju Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor
Pencapaian luar biasa ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh pelajar di bawah naungan Yayasan Selangor untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, dan sahsiah diri.
Yayasan Selangor turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM), barisan pendidik, serta ibu bapa yang telah memberikan sokongan padu dalam membimbing beliau sehingga meraih kejayaan yang membanggakan ini. Semoga saudara Uqail Syahmi terus melakar kecemerlangan di persada antarabangsa dan menjadi contoh teladan kepada generasi muda Selangor.
Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor | Tarikh : : 1 Julai 2026
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my