YAYASAN SELANGOR PERKUKUH KOMITMEN PENDIDIKAN, 423 PELAJAR TERIMA BIASISWA LEBIH RM 2 JUTA

Yayasan Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan anak-anak Selangor menerusi tawaran biasiswa kepada 423 pelajar dengan kos keseluruhan tajaan berjumlah RM 2,015,250.00.

Majlis penyerahan surat tawaran biasiswa disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad kepada penerima yang mewakili pelbagai latar belakang, termasuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, B40 dan luar bandar, di Dewan Bestari Asrama Yayasan Selangor Klang.

Melalui biasiswa ini, murid terpilih menerima bantuan kewangan dalam bentuk Biasiswa Kecil sebanyak RM 700.00 setahun atau Biasiswa Khas sebanyak RM 1,000.00 setahun, selain manfaat tambahan merangkumi perbelanjaan pendidikan seperti yuran persekolahan, buku teks dan keperluan asas lain.

Menurut Raja Nazirin Shah, Yayasan Selangor turut memperuntukkan sekitar RM 2 juta setahun untuk menampung kos penyediaan makanan dan minuman pelajar di dua buah asrama pusatnya di Klang dan Sabak Bernam. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha holistik Yayasan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid terus terpelihara.

“Selain daripada peruntukan biasiswa ini, Yayasan Selangor juga melaksanakan pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah termasuk kelas bimbingan, tuisyen percuma, bengkel peperiksaan, serta program sokongan akademik seperti motivasi, jati diri dan kepimpinan. Kami beriltizam untuk menyediakan segala kemudahan yang diperlukan demi membantu kemenjadian murid-murid tajaan Yayasan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Beliau turut menyeru pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan, serta berusaha menjadi insan yang serba boleh dan berdaya saing.

“Dengan segala kemudahan dan program yang diberikan, semua murid dituntut agar menjadi seorang yang serba boleh. Seorang yang memiliki minda kelas pertama dengan pengetahuan yang luas serta berusaha mengasah kemahiran pelbagai, selain berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat,” tambah beliau.

Inisiatif berkenaan mencerminkan iltizam Yayasan Selangor untuk terus mendukung agenda pendidikan negeri dan negara, seiring dengan hasrat melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

Dikeluarkan oleh:-

Unit Komunikasi Yayasan Selangor | Tarikh: 29 April 2025

2025-04-29T16:44:29+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY