SIARAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR SAMPAIKAN HADIAH KEPADA PEMENANG PERTANDINGAN
VIDEO PENDEK SEMPENA KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-65 TAHUN 2022

Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan dan pada tahun ini ianya disambut untuk kali yang ke-65. Peristiwa penting tahunan ini wajar disambut secara bermakna bagi menanam sifat cintakan negara dalam diri setiap rakyat Malaysia terutama dalam kalangan generasi muda.

Yayasan Selangor turut mengambil inisiatif dengan menganjurkan Pertandingan Video Pendek Sempena Kemerdekaan Negara Ke-65 ini. Penganjuran pada kali ini mensasarkan penyertaan bagi sekolah-sekolah yang menempatkan murid tajaan Yayasan Selangor. Objektif utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk terus memupuk nilai kecintaan kepada tanah air di samping mencungkil bakat kreatif dalam kalangan murid tajaan Yayasan Selangor.

Pertandingan yang telah bermula sejak 1 Ogos 2022 sehingga 25 Ogos 2022, telah sampai ke kemuncaknya iaitu untuk pengumuman para pemenang dan penyampaian hadiah. Sebanyak 21 video penyertaan telah diterima yang merangkumi pelbagai jenis persembahan seperti bacaan puisi, syair, nyanyian dan sebagainya yang berdurasi tidak lebih 3 minit setiap satunya.

Pada edisi kali ini, Pemenang Tempat Pertama memperolehi hadiah wang tunai berjumlah RM700.00, diikuti RM400.00 bagi Tempat Kedua dan RM200.00 bagi Tempat Ketiga. Hadiah saguhati berjumlah RM100.00 diberikan kepada 7 penyertaan yang terpilih. Senarai pemenang bagi tiga buah sekolah terbaik adalah seperti berikut:

1. Tempat Pertama : SMK Assunta, Petaling Jaya

2. Tempat Kedua : SMK Bagan Terap, Sungai Besar

3. Tempat Ketiga : SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang

Pemenang Tempat Pertama iaitu adik Nur Dini Najwa Bt. Halizam, murid Tingkatan 5 yang mewakili SMK Assunta telah mempersembahkan video berkonsepkan deklamasi sajak patriotik ciptaan sendiri dengan garapan video patriotik yang telah menarik minat para panel juri. Semasa ditemubual, beliau berkata, “Semasa menulis skrip sajak perwira kemerdekaan, semangat patriotik semakin dirasai meresapi ke dalam jiwa, semakin diolah, semakin lebih memahami maksud yang cuba disampaikan.” Pengetua SMK Assunta, Puan Mages Wari A/P Subramaniam amat teruja dengan kemenangan ini dan mengucapkan penghargaan di atas penganjuran pihak Yayasan Selangor.

Semoga nilai jati diri dalam menjiwai semangat patriotisme akan terus dipupuk agar menjadi warganegara yang bersemangat waja mempertahankan kemerdekaan dan memajukan negara.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”

“SELANGOR MAJU BERSAMA”

YAYASAN SELANGOR

3 Oktober 2022

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.
2022-10-07T10:08:08+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY