PROGRAM INISIATIF TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT (CSR): YAYASAN SELANGOR KOMITED MENYANTUNI KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH DAN ASNAF

Yayasan Selangor (YS) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tahun 2025 melalui Program Santun Kasih Ramadan dan Aidilfitri dengan memberikan sumbangan barangan keperluan asas serta wang tunai kepada golongan yang kurang bernasib baik, termasuk keluarga berpendapatan rendah, asnaf daripada keluarga bekas kakitangan YS, serta pelajar tajaan YS.

Ketua Pegawai Eksekutif YS, Raja Nazirin Raja Mohamad, berkata program ini dilaksanakan dengan tujuan utama untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar. Sumbangan CSR ini sebagai tanda keprihatinan YS untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya dalam membuat persiapan bagi menyambut kedatangan syawal.

“Semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi keceriaan dan sinar kegembiraan buat mereka terutamanya membantu meringankan beban kewangan mereka dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti”, katanya.

“Sumbangan yang dihulurkan ini berlandaskan kewajipan salah satu rukun Islam serta komitmen YS untuk membantu 20 keluarga terpilih yang menerima sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat YS.”

Sumbangan barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai telah disampaikan secara berperingkat oleh Puan Norhayati Umor, Pengurus Komunikasi sebagai mewakili Ketua Pegawai Eksekutifnya di kediaman penerima di sekitar Puchong, Klang, Kuala Lumpur, Sekinchan dan Sabak Bernam.

Diharap sumbangan ini dapat membantu mengukir keceriaan dan membolehkan mereka merasai nikmat berhari raya dengan lebih sempurna serta bermakna.

“Semoga inisiatif ini akan terus diperkasa dan menjadi aspirasi dalam meningkatkan nilai kepedulian serta cakna terhadap kesulitan yang dihadapi umat Islam sekali gus akan memperkukuh kualiti hidup dan kesejahteraan ummah secara menyeluruh.” katanya.

Yayasan Selangor | 27 Mac 2025

2025-04-07T09:51:11+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY