KENYATAAN MEDIA YAYASAN SELANGOR : YAYASAN SELANGOR PERKENAL LOGO BAHARU SELEPAS 43 TAHUN
SUBANG JAYA, 13 JUN 2023 – Yayasan Selangor (YS) memperkenalkan logo baharu selepas 43 tahun selaras penjenamaan semula YS yang dilihat penting bagi mengaktualisasikan semula identiti YS.\
Logo baharu YS itu dilancar oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YS pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu YS.
Ketua Pegawai Eksekutif YS, Eddie Ahmad Khodzali FCMA, CGMA berkata, sejajar dengan matlamat Selangor sebagai negeri pintar dan maju, reka bentuk logo diperhalusi dengan membawa ciri-ciri moden dan terkini serta berkeyakinan seiring wawasan YS dalam menjamin dan memberi peluang pendidikan kepada rakyat khususnya di negeri Selangor.
Katanya, logo tersebut direka berasaskan gabungan huruf Y dan S yang membawa maksud Yayasan Selangor manakala penggunaan warna merah kuning merupakan warna yang terdapat pada bendera rasmi Selangor Darul Ehsan.
“Logo baharu ini tampil lebih kemas dan menarik dalam warna bendera Selangor dan reka bentuk yang berimpak mencerminkan pembaharuan, segar dan penjenamaan semula YS.”
“Ia tidak hanya sekadar sebuah gambar, tetapi sebuah simbol yang memperkuat dan menguatkan identiti Yayasan Selangor. Ia mencerminkan tekad Yayasan Selangor untuk terus maju, beradaptasi dengan perubahan, dan memberikan yang terbaik kepada pemegang taruh.”
“Dengan logo baharu ini diharapkan dapat menjadi sumber motivasi dan inspirasi bagi seluruh warga kerja YS dan juga bagi mereka yang melihatnya. Kami berkomitmen untuk terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik dalam mencapai visi dan misi kami,” katanya dalam ucapannya di majlis tersebut.
Eddie berkata langkah penjenamaan semula YS bukan langkah mudah namun YS tampil dengan yakin dan berani dengan perubahan tersebut.
Penjenamaan YS bertujuan meningkatkan taraf dan mengukuhkan lagi jenamanya sekali gus membuktikan keterbukaan YS dalam mengadaptasi corak perubahan semasa selepas 53 tahun penubuhan.
Sejak 2021, YS mengambil pendekatan proaktif dengan merencana proses penjenamaan semula YS yang dilihat amat penting bagi memperkuat identiti yang memerlukan citra berpasak pada realiti semasa merangkumi kepentingan masa depan yang lestari.
Transformasi ini turut memberi peluang untuk menaik taraf imej syarikat dan menstrukturkan semula identiti yang lebih terkini dengan memperkenalkan citra syarikat yang lebih profesional selain memberi peluang untuk memperbaiki imej dan identiti syarikat.
Untuk rekod, YS ditubuhkan pada 5 November 1970 dan logo lama YS dirasmikan pada tahun 1980 sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan ke -10 YS ketika itu.
Tahun ini, YS telah diamanahkan oleh Yang Amat berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari untuk mengetuai Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dengan dikawal selia oleh Seksyen Agihan dan Pembangunan, Unit Perancang Ekonomi Negeri berkuasa 1 Februari 2023.
Yayasan Selangor
13 Jun 2023
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my



