SIARAN MEDIA YAYASAN SELANGOR
YAYASAN SELANGOR BERI PENANGGUHAN BAYARAN BALIK STUDY LOAN

Seluruh negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara ‘total lockdown’ mulai 1 Jun 2021. Secara dasarnya semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi kecuali kategori perkhidmatan perlu (“essential services”) yang dibenarkan beroperasi dalam usaha kita mengekang perebakan wabak Covid19 dan memutuskan rantaian jangkitannya.
Menginsafi kesukaran rakyat khasnya mereka yang terjejas dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi akibat ancaman wabak ini, Yayasan Selangor telah mengambil inisiatif memberi penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran kepada 286 orang pelajar tajaannya yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2021. Mereka hanya perlu membuat bayaran balik mulai bulan Januari 2022. Inisiatif ini melibatkan jumlah pembiayaan sehingga RM1juta.
Inisiatif ini telah diumumkan secara rasmi oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor semasa membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 ‘Bersama Menuju Kejayaan’ pada 9 Jun 2021 melalui saluran media sosial rasmi beliau.
Sebelum ini, Yayasan Selangor telah memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Selangor semasa PKP 1.0 yang bermula pada 1 April hingga 30 September 2020 bagi tempoh enam (6) bulan di mana penangguhan ini diberikan kepada peminjam aktif dengan tunggakan pinjaman tidak melebihi tiga (3) bulan. Kemudahan ini telah dimohon dan dinikmati oleh 204 orang peminjam pelajaran Yayasan Selangor yang melibatkan nilai pinjaman berjumlah RM286,000.00.
Menurut YAB Dato’ Seri Amirudin Shari juga, Yayasan Selangor akan membantu merancang semula bayaran balik pinjaman pelajaran 2,088 bekas pelajar tajaan Yayasan Selangor yang berada di dalam kategori peminjam aktif, tunggakan dan kes mahkamah. Mana-mana peminjam yang terjejas pendapatan mereka (dengan sokongan bukti) sepanjang PKP3.0 boleh dipertimbangkan untuk diberi penangguhan bayaran balik sehingga 3 bulan bagi meringankan beban mereka. Walau bagaimanapun, peminjam perlu menghubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan Yayasan Selangor untuk proses runding cara.
Untuk makluman umum, Yayasan Selangor tidak menerima apa-apa geran kewangan atau sumbangan daripada mana-mana pihak dalam melaksanakan aktiviti bantuan pembiayaan pendidikannya. Bayaran balik pinjaman pelajaran yang diterima akan diguna semula untuk membiayai peruntukan pembiayaan pendidikan pelajar baharu yang akan datang.
Yayasan Selangor
9 Jun 2021
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.
Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my
Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com