SIARAN MEDIA | PKNS, Yayasan Selangor teroka kerjasama strategik pembangunan baharu di Pulau Carey
SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai agensi peneraju pembangunan negeri Selangor apabila hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Selangor bagi meneroka kerjasama strategik pembangunan di Pulau Carey.
Melalui pemeteraian ini, PKNS akan bekerjasama dalam merancang sebuah kawasan pembangunan baharu yang mampan dan berdaya saing di atas tanah seluas 1,693.04 ekar milik Yayasan Selangor. Inisiatif strategik ini turut merangkumi penilaian model perniagaan usahasama yang sesuai serta berdaya maju, di samping merangka terma pembangunan seterusnya yang mampu menyokong pelaksanaan projek mega Pelabuhan Carey, yang bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Kerjasama ini merupakan langkah awal PKNS dalam memastikan kepentingan strategik Kerajaan Negeri Selangor terpelihara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri melalui projek berimpak tinggi.
PKNS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Mahmud Abbas, manakala Yayasan Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad. Majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor petang ini.
Menurut Raja Nazirin, kerjasama ini dijangka memberi lonjakan kepada nilai aset tanah strategik yang kini digunakan untuk ladang sawit. Pembangunan ini bukan sahaja mengoptimumkan nilai aset Yayasan Selangor, malah turut berupaya menjana sumber pendapatan baharu bagi memperkukuh dana pendidikan untuk anak-anak Selangor, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.
Sebagai agensi peneraju pendidikan dan berpengaruh di negeri ini, Yayasan Selangor melihat inisiatif ini sebagai langkah penting untuk memastikan mandat asalnya dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar terus terjamin. Hasil daripada pembangunan strategik ini juga akan membolehkan Yayasan Selangor memperluas program biasiswa, bantuan asrama, serta inisiatif pembangunan modal insan yang menjadi teras kepada peranannya sebagai peneraju pendidikan anak-anak Selangor.
Lebih daripada itu, Yayasan Selangor turut berhasrat menjadikan hasil pembangunan di Pulau Carey sebagai pemacu kepada agenda pendidikan negeri, malah pembangunan modal insan bersepadu yang mampu melahirkan generasi Selangor berdaya saing di pentas global. Inisiatif ini bukan sahaja memastikan kesinambungan legasi Yayasan Selangor dalam bidang pendidikan, malah menzahirkan komitmen jangka panjang untuk melahirkan masyarakat berilmu, progresif, dan inklusif selaras dengan aspirasi Negeri Selangor.
Menurut Dato’ Mahmud, melalui kerjasama ini, PKNS bukan sahaja memastikan pembangunan di Pulau Carey dapat dilaksanakan secara berstruktur dan mampan, malah lebih penting, manfaat pembangunan ini akan sampai terus kepada rakyat, khususnya dalam bentuk peluang sosio ekonomi dan pendidikan.
Tanah milik Yayasan Selangor dijangka menjadi laluan keluar masuk utama serta kawasan penempatan logistik atau “main staging area” sepanjang tempoh pembangunan, sekali gus menambah nilai strategiknya terhadap projek mega ini.
MoU ini bukan sahaja memperkukuh sinergi antara PKNS dan Yayasan Selangor, malah menandakan komitmen PKNS dalam menyokong agenda pembangunan Negeri Selangor ke arah menjadikan Pulau Carey sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu serta simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pelabuhan bertaraf dunia.
Mengenai PKNS
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri Selangor yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964. PKNS adalah agensi pembangunan negeri Selangor dalam pelbagai bidang meliputi hartanah, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), taman industri, alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui, hospitaliti serta penjagaan kesihatan. Sebagai sebuah agensi yang telah dipertanggungjawabkan untuk memangkin pertumbuhan sosio ekonomi demi kesejahteraan rakyat negeri Selangor, PKNS bukan sahaja berkhidmat untuk para pemegang taruh tetapi bagi semua lapisan masyarakat di Selangor.
Mengenai Yayasan Selangor
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my
Dikeluarkan oleh :-
Zurina binti Yahya
Pengurus
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
Tarikh : 17 September 2025