Sekolah Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan Kerjasama Yayasan Selangor
Sekolah Agama Menengah Bestari atau nama ringkasnya SAM Bestari, merupakan sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang terletak di Jalan USJ 5/3A, Subang Jaya. Mula ditubuhkan pada 29 Mei 1998, sekolah ini menggariskan visi yang ingin dicapai sebagai “Melahirkan da’ie yang unggul sepanjang zaman” . Barisan pengurusan sekolah diketuai oleh Pn. Hjh. Nadzarah binti Mahmud selaku pengetua dengan misi “mentarbiyah murid melalui pendidikan berkualiti berlandaskan al-quran dan al-sunnah” yang diterapkan dalam kehidupan seharian pelajar di sekolah dan asrama.
Sekolah ini berjaya merangkul anugerah Sekolah Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Kerjasama Yayasan Selangor (RKPYS) selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2018 dan 2019. Pada tahun 2019, pencapaian para pelajar RKPYS di sekolah ini telah berjaya mengatasi pencapaian di 63 buah sekolah yang lain di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Dalam Peperiksaan SPM, 94.4% murid berjaya mencapai sasaran KPI 5A ke atas. Daripada seramai 36 orang calon, 24 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dalam sesi penganugerahan kali ini. Manakala, bagi pencapaian PT3 pula, 88.2% pelajar daripada sekolah ini berjaya mencapai KPI 5A ke atas.
Pengurusan Yayasan Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga SAM Bestari terutamanya kepada pengetua, Pn, Hjh. Nadzarah binti Mahmud dan juga guru penyelaras Yayasan Selangor, Pn. Faridza binti Mohd Shuraimi di atas kecemerlangan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar sekolah ini dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Syabas dan semoga kejayaan yang digapai ini dapat dipertingkatkan lagi di masa-masa yang akan datang.