YAYASAN SELANGOR ANJUR SESI LIBAT URUS YAYASAN SE MALAYSIA BERSAMA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA DALAM MEMPERKASA SEKTOR PENDIDIKAN NEGARA

SUBANG JAYA, 13 JUN 2023 – Lanjutan daripada pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu Yayasan Selangor (YS), YS terus beradaptasi dengan peranan dan komitmen yang lebih besar terhadap agenda pembangunan pendidikan negara dengan menganjurkan Sesi Libat Urus YS, Pengarah / Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Se Malaysia Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia. Sesi Libat Urus ini telah dihadiri oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia pada 13 Jun 2023 di Dorsett Grand, di sini.

Sesi ini menggabungkan seluruh Yayasan Se Malaysia terdiri daripada Yayasan Pahang, Yayasan Pelajaran Johor, Yayasan Islam Negeri Kedah, Yayasan Sarawak, Yayasan Sabah, Yayasan Islam Perlis, Yayasan Perak, Yayasan Wilayah Persekutuan, Yayasan Terengganu, Yayasan Melaka, Yayasan Kelantan Darul Naim, Yayasan Negeri Sembilan dan juga Yayasan Selangor.

Yayasan-yayasan dari setiap negeri merupakan tunjang utama sektor pendidikan negeri yang mempunyai matlamat dan ideologi seiring dalam memperkasa obligasi pendidikan di setiap negeri masing-masing. Menerusi platform sesi libat urus ini, idea-idea inisiatif pendidikan yang diterapkan oleh setiap yayasan negeri dapat dikupas dan dikongsi di samping mencari titik keseragaman serta jalan terbaik yang boleh dipraktikkan bersama-sama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara.

Justeru, komitmen yang berterusan dalam kalangan yayasan-yayasan negeri dilihat amat penting dalam memperluaskan perkongsian, mempertingkat dan menyatukan proses pembangunan sistem pendidikan dari setiap negeri yang akhirnya meningkatkan kewibawaan taraf pendidikan yang berkualiti.

Diharapkan penganjuran sesi libat urus ini dapat menjadi batu asas untuk terus bekerjasama dalam kalangan yayasan-yayasan negeri demi menyemarak idea-idea yang holistik dan praktikal serta dinamik ke arah memartabatkan agenda pendidikan negeri dan negara.

Yayasan Selangor

13 Jun 2023

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2023-06-14T23:27:48+08:00
Yayasan Selangor
en_GB