KENYATAAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR SEDIA PERUNTUKAN RM990,000 TAJA PELAJAR UNTUK PROGRAM BITARA YAYASAN SELANGOR

Yayasan Selangor menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM990,000 menerusi Program BITARA Yayasan Selangor bagi mengikuti sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Tajaan ini meliputi, 55 murid yang ditempatkan di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terpilih menerusi Program Budi Yayasan Selangor dan tujuh murid pula di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM). Murid tajaan Yayasan Selangor yang terpilih ini adalah terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan dan penajaan program-program tersebut meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wang saku dan peranti.

Program BITARA yang dilaksanakan sejak 2021 oleh Yayasan Selangor dengan kerjasama KYSM dan MARA, adalah bermatlamat untuk melahirkan murid yang global, cemerlang dan kompetitif seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya negeri Selangor. Penempatan murid yang terpilih di KYSM dan MRSM akan memberi mereka peluang bagi meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif dan prasarana yang lebih efektif.

Di bawah Program BITARA Yayasan Selangor di MRSM, tajaan diberikan kepada murid kelahiran Selangor yang berada di 12 buah MRSM terpilih bermula Tingkatan 1 hingga 5. Manakala di KYSM pelajar ditaja bermula Tingkatan 4 hingga 5.

Simbolik bagi penyerahan surat tawaran kepada murid yang terpilih telah disampaikan oleh Encik Zaini Sulaiman, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor kepada tiga murid yang hadir bersama ibu bapa masing-masing pada 20 Mac 2024 di ibu pejabat Yayasan Selangor di Petaling Jaya, di sini.

Yayasan Selangor | 22 Mac 2024

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2024-03-22T18:40:45+08:00
Yayasan Selangor
en_GB