SHAH ALAM, 23 JUN: Selaras dengan tanggungjawab Yayasan Selangor (YS) sebagai peneraju utama “Lead Agency” Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor, YS terus bergerak dengan menfokuskan peningkatan kualiti pengurusan pentadbiran melalui proses mengaktualisasikan transformasi serta mengimplementasi perubahan signifikan dalam struktur organisasi dengan tujuan meningkatkan mutu kerja, produktiviti dan berdaya saing.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YS, Dato’ Haris Kasim, berkata, hasil daripada Projek Transformasi (EVO50YS) dapat memberi keberkesanan dan mewujudkan budaya kerja baharu di YS ke arah sebuah organisasi yang berkelas dunia. YS perlu memikirkan strategi bagi memastikan peranan dan fungsi kekal relevan dalam menggarap idea-idea baharu serta anjakan paradigma demi melestarikan pelbagai lagi inisiatif pendidikan di negeri ini seperti mempelbagaikan bentuk kerjasama pintar dan lain-lain usaha dalam memastikan kesinambungan pencapaian pendidikan ke tahap lebih optimum.
Beliau berkata demikian ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan YS bagi tahun 2023, selaras dengan Artikel 45 Tataurus Dan Tatawujud (Memorandum and Articles of Association) YS.
“Tindakan bersepadu diambil untuk meyakinkan masyarakat serta para pelanggan bahawa YS kini searah dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mampu mendapatkan kepercayaan penuh pemegang taruhnya,” katanya.

Justeru, beliau berkata dengan perubahan positif pemikiran pengurusan dan kakitangan YS secara radikal untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif, YS dilihat bersedia menyepadukan lonjakan pendidikan negeri di samping usaha-usaha sinergi dalam mentadbir dan mengurus aset-aset serta hartanah YS dengan lebih baik dan dapat menjana pendapatan lebih tinggi, mampan dan efisien sekali gus memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor melalui program dan inisiatif pendidikan yang dianjurkan.
Untuk rekod, YS bersama-sama Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor telah berjaya melancarkan Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor (SELESTARI) 2023-2030 yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor pada 13 Jun 2023.
Mesyuarat Agung Tahunan YS bagi Tahun 2023 berjaya diadakan dengan lebih awal dan mengikut tempoh yang disarankan sebagai memenuhi keperluan pematuhan di bawah Akta Syarikat dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan. Mesyuarat turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Anggota-Anggota YS sepertimana yang disyaratkan dalam Memorandum dan Artikel penubuhannya.

Yayasan Selangor 23 Jun 2023

2023-06-23T23:57:33+08:00
Yayasan Selangor
en_GB