KENYATAAN MEDIA : 356 MURID TINGKATAN 1 TERIMA TAWARAN KE PROGRAM RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR TAHUN 2024

Seramai 356 orang murid Tingkatan 1 dari seluruh Selangor yang layak telah terpilih untuk ditempatkan ke 23 buah sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor (YS) bagi mengikuti program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) bagi sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Murid-murid yang telah terpilih merupakan mereka yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu pendapatan perkapita kurang daripada RM2,000 dan mendapat sekurang-kurangnya TP 3 di dalam semua matapelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah.

Murid telah mendaftar di sekolah yang ditawarkan membabitkan sekolah di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala pendaftaran murid yang ditempatkan di asrama pusat Yayasan Selangor iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam telah dijalankan pada 8 dan 10 Mac 2024. Sesi persekolahan telah bermula pada hari ini 11 Mac 2024 mengikut ketetapan yang digariskan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Untuk rekod, sejumlah 2,474 permohonan telah diterima untuk pengambilan murid kali ini. Permohonan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, telah dibuka pada 3 Januari 2024 dan permohonan ditutup pada 15 Januari 2024. Semakan keputusan permohonan pula telah dibuka pada 21 Februari 2024. Bagi murid yang tidak terpilih dan telah membuat permohonan rayuan, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan kepada murid yang terpilih tertakluk kepada kekosongan dan dasar yang telah ditetapkan oleh Yayasan Selangor.

Program ini telah dianjurkan oleh Yayasan Selangor sejak tahun 1971 dan mensasarkan murid berpotensi daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelaksanaan program ini tertakluk kepada Dasar / Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (merangkumi syarat akademik) dan Dasar RKPYS yang digariskan oleh Yayasan Selangor.

Murid-murid yang ditawarkan ke program ini akan mendapat keistimewaan seperti kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri. Yayasan Selangor komited dengan melantik seorang guru penyelaras bagi memantau pencapaian dan kebajikan murid di setiap sekolah tajaannya.

Yayasan Selangor | 12 Mac 2024

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2024-03-12T15:18:35+08:00
Yayasan Selangor
en_GB