KENYATAAN MEDIA | 2,000 PELAJAR SERTAI SEMINAR SKOR A+ #ANAKSELANGOR PERKASA PRESTASI SPM DI SELANGOR
Seramai 2,000 pelajar seluruh Selangor menyertai Seminar Skor A+ SPM 2025 #AnakSelangor, anjuran Yayasan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) melalui Sektor Pembelajaran (SPB), sebagai usaha memperkasa prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari di Sekolah Menengah Setia Budi, Gombak pada 25 Oktober 2025.
Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif strategik untuk membantu pelajar Selangor mencapai prestasi akademik yang lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM. Ia turut menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa modal insan berkualiti tinggi dan melahirkan generasi #AnakSelangor yang berilmu, berdaya saing dan berdisiplin.
Seminar ini memberi tumpuan kepada tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, dengan pelaksanaan secara berperingkat di beberapa lokasi terpilih pada 11 dan 25 Oktober 2025.
Selain itu, seminar turut menampilkan barisan guru pakar dan penceramah berpengalaman yang berkongsi strategi menjawab soalan, teknik pembelajaran interaktif, serta kaedah latihan kendiri untuk memperkukuh penguasaan pelajar. Sesi motivasi dan perkongsian inspirasi turut diadakan bagi menyuntik semangat, disiplin dan keyakinan diri menjelang peperiksaan.
Pada tahun 2023, Yayasan Selangor dan STANDCO Pendidikan Negeri julung kali melaksanakan Karnival SPM Selangor yang melibatkan 1,500 calon SPM 2023 dari 40 sekolah seluruh negeri. Program dua hari itu memberi tumpuan kepada pelajar berpotensi cemerlang dan lulus, melibatkan murid Tingkatan Lima aliran Sains dan Sastera yang dipilih oleh guru masing-masing.
Berdasarkan rekod SPM 2024, Selangor mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.59 dan Lulus Minimum Sekurang-kurangnya (LMS) 91.53%.
Tahun ini, menerusi Seminar Skor A+ SPM 2025 menyasarkan peningkatan GPN kepada 4.52 serta LMS kepada 94.82 peratus, dengan fokus terhadap peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi tiga subjek utama tersebut.
Yayasan Selangor percaya peningkatan ini akan menjadi indikator kejayaan terhadap keberkesanan intervensi akademik yang dilaksanakan melalui pendekatan berstruktur dan berpaksikan keberhasilan pelajar.
Penganjuran seminar ini sejajar dengan peranan Yayasan Selangor sebagai rakan strategik utama pendidikan negeri, bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi akademik, tetapi turut memperkukuh keyakinan dan motivasi pelajar luar bandar serta bandar.
Program ini memberi peluang sama rata kepada semua pelajar #AnakSelangor untuk menguasai kemahiran belajar, berfikir secara kritikal dan bersedia menghadapi cabaran peperiksaan secara holistik.
Melalui sinergi bersama JPNS, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL), Yayasan Selangor yakin usaha berterusan ini akan terus melahirkan generasi pelajar yang berwawasan, seimbang dan mampu menjadi pemangkin kemajuan negeri.
Pada masa sama, Yayasan Selangor akan meneruskan beberapa inisiatif lanjutan seperti Program Selangor Internship Student Programme (SISPRO) yang memberi fokus kepada kepimpinan, motivasi dan kemahiran insaniah pelajar sekolah menengah.
Seterusnya, Program Intervensi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadualkan berlangsung pada November 2025, manakala pada Disember 2025, Yayasan Selangor bersama STANDCO Pendidikan Negeri Selangor dan agensi pendidikan lain akan melaksanakan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Persediaan Alam Remaja, bagi memperkukuh kesinambungan pembelajaran dari peringkat awal hingga remaja.
Selain itu, Program Sekolah Angkat Yayasan Selangor turut diteruskan bagi memastikan pelajar mendapat bimbingan dan sokongan berterusan selepas seminar utama berakhir.
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my
Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 016 921 2474 / 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com.