KENYATAAN MEDIA : PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YAYASAN SELANGOR BAHARU

Shah Alam, 3 Mac 2025 – Yayasan Selangor hari ini mengumumkan pelantikan YM Raja Nazirin Shah bin Raja Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor yang baharu, berkuatkuasa mulai 3 Mac 2025.
YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad memiliki pengalaman luas dalam bidang Hartanah dan Korporat. Berkelulusan dari Universiti Teknologi MARA dalam bidang Pengurusan Harta dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Management & Science University (MSU) serta Pengajian Pengurusan dan Pentadbiran dari Universiti Kagawa Jepun, YM Raja Nazirin Shah telah menyertai MRCB Sentral Properties Sdn Bhd selama lebih 10 tahun pengalaman sejak Disember 2000. Pada ketika itu, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan yang bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan bagi Jualan, Pemasaran serta Pengurusan Aset di KL Sentral Sdn Bhd yang merupakan sebuah projek pembangunan bersepadu di bawah anak syarikat kepada MRCB Berhad.
Selepas menyertai MRCB Sentral Properties Sdn Bhd, YM Raja Nazirin Shah berkhidmat selama lebih enam tahun dalam bidang Operasi dan Korporat dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan juga Ketua Pegawai Eksekutif di PNB Commercial Sdn Bhd. Beliau telah ditugaskan merencana projek berprofil tinggi dalam membangun strategi Blueprint Asset Enhancement Initiative (AEI) bagi tujuan untuk meningkatkan nilaian aset dan hartanah. Selain itu, beliau telah memegang jawatan sebagai Vice President & Head of Commercial di PNB Merdeka Venture selama lebih satu tahun.
Beliau juga berpengalaman selama empat tahun sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif di AmFirst Real Estate Investment yang bertanggungjawab dalam pengurusan operasi dan komunikasi strategik. Manakala pada tahun 2022 sehingga 2024, YM Raja Nazirin Shah telah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Damansara Reit Managers Sdn Bhd.
Dengan pengalaman luas lebih dari 20 tahun di kedua-dua sektor hartanah dan korporat, kini kudrat YM Raja Nazirin Shah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor diperlukan bagi menerajui usaha dan komitmen dalam memperkukuhkan lagi penjenamaan Yayasan Selangor sebagai sebuah syarikat yang menjana pendapatan sendiri menerusi pembangunan aset dan hartanahnya sekali gus mampu mencorak impak positif dalam meningkatkan dana syarikat untuk disalurkan bagi memberdaya program-program pendidikan negeri dalam usaha melahirkan modal insan yang berjaya.
Yayasan Selangor
3 Mac 2025