KENYATAAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR SEDIAKAN RM918,000.00 PERUNTUKAN PENDIDIKAN UNTUK PROGRAM HIPERS DI SEKOLAH-SEKOLAH NEGERI SELANGOR

KAJANG, 11 MAC 2024 : Yayasan Selangor menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM918,000.00 kepada penganjuran Program ‘High Potential Students’ atau lebih dikenali sebagai Program HIPERS bagi tahun 2024 untuk sekolah-sekolah terpilih di Selangor.

Program HIPERS yang telah mula kembali dilaksanakan pada tahun 2014 oleh Yayasan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini memfokuskan untuk membantu murid-murid di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dengan mensasarkan murid-murid Tahun Empat, Tahun Lima, Tahun Enam, Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima yang berpotensi cemerlang dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehingga Januari 2024, sekolah di bawah tajaan Program HIPERS berjumlah 25 buah sekolah, iaitu 12 buah sekolah Menengah dan 13 buah sekolah Rendah dengan enrolmen terkini murid adalah seramai 1,321 orang. Melalui Program HIPERS ini, setiap tahun Yayasan Selangor akan memperuntukkan bajet bagi pelaksanaan kelas bimbingan, program atau bengkel lonjakan akademik, program motivasi dan bayaran elaun Guru Penyelaras yang dilantik bagi sekolah-sekolah yang terpilih di bawah program ini. Sejumlah RM28,200.00 daripadanya disalurkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Bandar Mahkota (SEKITA) yang juga merupakan sekolah di bawah tajaan Program HIPERS dengan penajaan murid seramai 56 orang bagi tahun 2024.

Simbolik bagi penyerahan peruntukan ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor, Merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kepada Puan Nur Hanani Md Nafi, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandar Mahkota sempena Majlis Pembukaan dan Sambutan Ulang Tahun Sedekad SEKITA yang dianjurkan di sekolah tersebut, di sini.

Program HIPERS ini diharapkan akan terus memberi impak positif kepada murid-murid dari sekolah-sekolah di sekitar seluruh negeri Selangor. Bilangan murid juga turut akan terus ditambah dari tahun ke tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapat manfaat.

Yayasan Selangor | 12 Mac 2024

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2024-03-12T15:14:30+08:00
Yayasan Selangor
en_GB