KENYATAAN MEDIA :YAYASAN SELANGOR SALUR RM467,000 PERUNTUKAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR
SERDANG, 27 JULAI 2023 : Yayasan Selangor (YS) menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM467,000 kepada murid sekolah rendah dan menengah serta para pelajar di peringkat Institut Pengajian Tinggi bagi tahun 2023.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, dalam melestarikan penyaluran pembangunan pendidikan negeri, YS saban tahun telah menyediakan peruntukan demi lonjakan taraf pendidikan. Tambah beliau, dalam usaha menyediakan pendidikan yang ideal dan bermakna, lanskap pendidikan negeri Selangor perlu digerakkan secara komprehensif dalam mengatur setiap perancangan yang teliti dan holistik.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YS telah hadir menyempurnakan Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor bertemakan “Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani” yang berlangsung pada 27 Julai 2023 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia, di sini.
Menerusi program ini, Amirudin telah menyampaikan peruntukan kepada 93 sekolah melalui Program Rancangan Khas Pendidikan YS (RKPYS), Sekolah High Potential Students (HIPERS) dan Sekolah / kolej Tingkatan 6. Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan komputer riba kepada murid di bawah Program Bitara – Budi MARA melibatkan seramai 70 orang murid manakala Kolej Yayasan Saad Melaka seramai 7 orang murid. Pemberian komputer riba ini diharap dapat membantu pembelajaran murid bagi memastikan kelangsungan prestasi akademik murid – murid. Jumlah keseluruhan sumbangan dan tajaan yang diperuntukkan adalah berjumlah RM247,000.00.
Di majlis yang sama, Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan Sijil Siswa Cemerlang YS kepada 10 orang pelajar tajaan YS yang telah bergraduat dengan cemerlang pada tahun ini dengan memperoleh Ijazah sarjana muda kelas pertama. Kejayaan ini melayakkan mereka diberi pengecualian bayaran balik 100% pinjaman pelajaran YS dan ditukar menjadi biasiswa dengan jumlah keseluruhan pengecualian sebanyak RM220,000.00. Selain itu, surat tawaran bagi penyertaan ke Program Pensijilan Profesional Chartered Institute Of Management Accountant (CIMA) turut diserahkan kepada seramai 6 orang murid tajaan YS yang terpilih.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan murid tajaan YS bagi tempoh 5 tahun (2018 – 2023) adalah seramai 23,093 dengan jumlah tajaan sebanyak RM9,844,580.03. Manakala jumlah keseluruhan pelajar yang menerima pinjaman pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah bagi tempoh 5 tahun (2018 – 2023) seramai 5,041 dengan jumlah pinjaman yang dibiayai sebanyak RM25,026,041.63.
Amirudin di dalam ucapannya juga berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak berkaitan untuk turut menyediakan platform pendidikan kepada masyarakat agar usaha pembentukan generasi berpengetahuan dan berilmu dapat direalisasikan dan mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi dunia sebenar sejurus melangkahi alam dewasa.
Yayasan Selangor
27 Julai 2023