KENYATAAN MEDIA YAYASAN SELANGOR : YAYASAN SELANGOR MEMETERAI KERJASAMA PENDIDIKAN BERSAMA YAYASAN TM & AKPK

SUBANG JAYA, 13 JUN 2023 – Yayasan Selangor (YS) bersama Yayasan TM (YTM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hari ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama strategik bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan pendidikan kepada rakyat negeri Selangor khususnya golongan pelajar.

Majlis tersebut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu Yayasan Selangor serta menandatangani Memorandum Persefahaman bersama rakan strategik di Dorsett Grand, di sini.

MoU ini merupakan inisiatif YS, YTM dan AKPK dalam mewujudkan usahasama untuk memberi dana pembiayaan pendidikan meliputi program penajaan dan latihan khusus buat para pelajar yang kurang berkemampuan tetapi miliki potensi yang tinggi.

Antara bentuk kerjasama antara YS dan YTM adalah:

  • Penyediaan data pelajar anak Selangor yang layak bagi program Ijazah Sarjana Muda.
  • Mengurus dan memantau pencapaian akademik para pelajar tajaan.
  • Mengurus dan menyelia dana pembiayaan pendidikan oleh YTM.
  • Jumlah pembiayaan pendidikan yang disalur oleh YTM adalah berjumlah  RM600,000 untuk tempoh lima tahun merangkumi elaun sara hidup, insurans,   elaun komputer dan elaun-elaun lain yang berkaitan.
  • Pelajar-pelajar tajaan YTM ini berpeluang mengisi kekosongan jawatan di TM Technology Services Sdn.  Bhd. atau mana-mana anak syarikatnya.

Antara bentuk kerjasama antara YS dan AKPK adalah:

  • Penyediaan peserta (pelajar/kakitangan YS).
  • Penganjuran sesi perkongsian, bengkel, program atau seminar pendidikan kewangan berteraskan modul pembelajaran Perusahaan Mikro Kecil dan
  • Latihan modul asas keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif YS, Eddie Ahmad Khodzali FCMA, CGMA dalam ucapannya berkata, jalinan kerjasama seperti ini akan terus dipupuk dengan cetusan idea-idea yang holistik ke arah satu tujuan iaitu mewujudkan lebih banyak penerokaan aspek pendidikan pada masa akan datang demi rakyat negeri Selangor.

“YS juga harus beriltizam untuk memastikan tiadanya anak-anak di negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan disebabkan kedhaifan ekonomi keluarga dan seterusnya ingin melihat anak-anak kita mampu mendapat pendidikan yang sewajarnya selaras dengan motto Selangor Maju Bersama “No one left behind”,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden Kawal Selia dan Perhubungan TM, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Turut hadir Pengurus Besar Negeri TM, Ir Ts Azrin Aris; Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar dan Ketua Jabatan Bahagian Pendidikan Mikro SME, AKPK, Akmar Yaakob.

Untuk rekod, YS merupakan sebuah pertubuhan yang diperbadankan di bawah          Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat berhad menurut jaminan tanpa modal saham bertujuan untuk memberi galakan dan bantuan pendidikan kepada rakyat negeri Selangor khasnya kepada yang kurang berkemampuan tetapi berpotensi.

YTM pula telah ditubuhkan pada November 1994 dan kemudian telah diperbadankan pada Januari 2007 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952. YTM diwujudkan dengan objektif untuk menggalakkan kemajuan pendidikan menerusi pemberian biasiswa, geran, dermasiswa, elaun sara hidup dan bantuan kewangan kepada para pelajar. Sejak penubuhannya, YTM telah menaja lebih daripada 16,000 orang pelajar di sekolah-sekolah kerajaan dan universiti-universiti di Malaysia dan di luar negara dengan jumlah tajaan lebih daripada RM605 juta. Selaras dengan transformasi YTM ke arah yayasan yang memfokuskan impak sosial tinggi pada tahun 2021, YTM telah memperluas bidang tumpuannya kepada 3 cabang utama iaitu Pendidikan; Pembangunan Komuniti & Negara; dan Seni, Budaya & Warisan.

Manakala AKPK adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu individu di Malaysia menyelesaikan sebarang permasalahan kewangan mereka melalui pelbagai cara.

Yayasan Selangor

13 Jun 2023

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2023-06-14T23:09:21+08:00
Yayasan Selangor
en_GB