KENYATAAN MEDIA YAYASAN SELANGOR : YAYASAN SELANGOR LANCAR RANCANGAN STRATEGIK PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR (SELESTARI) 2023-2030

SUBANG JAYA, 13 JUN 2023 – Yayasan Selangor (YS) terus mengorak langkah ke hadapan sebagai pemangkin pendidikan negeri dengan melancarkan Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor (SELESTARI) 2023-2030 sebagai transformasi imej selaras dengan kewibawaan YS yang kini diberi amanah dan tanggungjawab dalam mengetuai Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YS pada 13 Jun 2023 di Dorsett Grand, di sini.

SELESTARI 2023-2030 adalah satu perancangan yang dirangka dengan penuh teliti dan menyeluruh meliputi semua organisasi negeri sebagai pemegang taruh dan penggerak dalam sektor pendidikan di Selangor dengan mengambil kira keperluan dan aspirasi pendidikan dalam jangka panjang.

Rancangan ini terbentuk hasil penelitian menetapkan Moto P.I.N.T.A.R (Pendidikan Insaniah, Nadi Transformasi, Aspirasi Realistik), aspirasi, visi, misi, prinsip dan tema Rancangan Selangor Pertama melalui pendekatan model inovasi hibrid ekonomi pengetahuan yang berhasrat untuk mengintegrasikan interaksi dan tindakan kerajaan, institusi pendidikan, industri serta masyarakat dalam landskap ekosistem pendidikan negeri Selangor.

Ia merangkumi beberapa komponen termasuklah matlamat, strategi dan inisiatif untuk memperbaiki dan meningkatkan sistem pendidikan negeri di samping menggarap strategi yang ampuh untuk mengenal pasti, membangun, mengadaptasi dan menyepadukan semua kecerdikan sumber pendidikan sedia ada serta menterjemahkan potensinya dalam membangunkan keupayaan, inovasi dan keberkesanan sektor pendidikan negeri.

SELESTARI 2023-2030 bertunjangkan lima (5) strategi iaitu Merealisasikan Pendidikan Sepanjang Hayat, Mentransformasikan Pendidikan, Membangunkan Modal Insan Berkualiti, Mengintegrasikan Infrastruktur dan Melestarikan Hubungan Strategik.

Enam (6) matlamat SELESTARI 2023-2030 merangkumi:

  1. Memperluaskan program dan peluang pembelajaran awal kanak-kanak dan pendidikan berkeperluan khas.
  2. Meningkatkan peluang warga emas untuk belajar dan menyumbang dalam program pendidikan.
  • Meningkatkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua pelajar.
  1. Meningkatkan bilangan pendidikan, guru, pakar dan profesional bertauliah dan/atau berkelayakan dalam bidang kritikal.
  2. Meningkatkan peratusan untuk melanjutkan pengajian.
  3. Meningkatkan kebolehpasaran graduan, kelayakan profesional dan penempatan ke dalam industri strategic.

YS mengambil inisiatif untuk menyerbar luas SELESTARI 2023-20230 kepada umum sebagai satu kaedah untuk memastikan semua pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan di Selangor termasuklah ibu bapa, pelajar, guru dan masyarakat setempat memahami dan menyokong rancangan ini.

Selain itu, informasi mengenai rancangan ini juga diharap akan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pentingnya pendidikan dan memberi tumpuan peningkatan kualiti pendidikan.

Yayasan Selangor

13 Jun 2023

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

 

2023-06-14T22:41:29+08:00
Yayasan Selangor
en_GB