SIARAN MEDIA : DATO’ MENTERI BESAR MAHU YAYASAN SELANGOR BERSEDIA JADI PENGGERAK UTAMA PENDIDIKAN DI SELANGOR

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari, di dalam ucapannya semasa hadir mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Tahun 2021 pada 8 Oktober 2021 yang lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) berkata, Yayasan Selangor harus bersedia menjadi ‘focal’ utama atau penggerak utama pendidikan di negeri Selangor seterusnya menjadi salah satu daripada kekuatan dan landasan di dalam gagasan Selangor Negeri Pintar 2025.

Mengikut perancangan, segala bantuan dan program pendidikan yang dikendalikan oleh semua agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor akan dibuat penjajaran dan penyelarasan semula di mana Yayasan Selangor akan menjadi penggerak utamanya. Segala bantuan dan program pendidikan iaitu dari bantuan tadika, program tuisyen rakyat untuk golongan B40, sehinggalah ke program Bitara di mana pencarian ‘the best brain in Selangor’ akan dikenalpasti dan dijaga juga akan dikendalikan oleh Yayasan Selangor kelak. Melalui program Bitara ini pelajar terpilih akan dibiaya dari peringkat sekolah menengah sehinggalah pendidikan tertinggi di peringkat master dan PhD dengan nilai tajaan sehingga RM1.5juta seorang. Keluaran program Bitara ini akhirnya akan berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Selangor sama ada di jabatan tertentu ataupun di syarikat GLC di negeri Selangor.

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari di dalam ucapannya juga berkata, selain menumpukan fokusnya dalam bidang pendidikan, pada tahun 2020 Yayasan Selangor juga telah memberikan perhatian kepada penyusunan semula aset-aset miliknya yang kini dihambat beberapa limitasi dan situasi yang lebih kompleks, berlainan senarionya berbanding tahun-tahun terdahulu. Justeru, Yayasan Selangor akan melantik pasukan atau badan professional tertentu untuk mentadbir dan mengurus aset-aset ini dengan lebih baik, agar dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi, mapan dan efisien di masa akan datang. Hasil pendapatan ini kemudiannya akan memberi manfaat dan dinikmati rakyat negeri Selangor melalui program-program dan inisiatif-inisiatif pendidikan yang dianjurkan Yayasan Selangor.

Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Tahun 2021 diadakan sebagai memenuhi keperluan pematuhan di bawah Akta Syarikat dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan. Turut hadir adalah ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Anggota-anggota Yayasan Selangor sepertimana yang disyaratkan di dalam Memorandum dan Artikel penubuhannya.

Yayasan Selangor
18 Oktober 2021

_____________________________________________________________________________________

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

2021-10-18T12:01:44+08:00
Yayasan Selangor
en_GB