SIARAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR ANJURKAN PERTANDINGAN VIDEO PENDEK SEMPENA KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-64 TAHUN 2021

Setiap tahun negara kita menyambut Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan setiap tanggal tarikh 31 Ogos sejak 64 tahun yang lalu. Semangat cintakan negara dan patriotisme ini harus disemai dan dipupuk kepada setiap warga negara bermula seusia kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Walaupun negara masih belum bebas dari pandemik COVID-19, ini tidak bermakna kita tidak boleh mengingati ataupun meraikan hari penuh bermakna dan bersejarah buat negara kita.

Justeru itu, bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dan penghayatan erti kemerdekaan, Yayasan Selangor telah mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Video Pendek Sempena Kemerdekaan Negara Ke-64 dengan mensasarkan penyertaan di kalangan murid tajaan Yayasan Selangor. Objektif utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk memupuk nilai kecintaan kepada tanah air di samping mencungkil bakat kreatif dalam kalangan murid tajaan Yayasan Selangor.

Pertandingan yang telah bermula sejak 9 Ogos 2021 sehingga 27 Ogos 2021, telah sampai ke kemuncaknya iaitu untuk pengumuman para pemenang. Sebanyak 55 video penyertaan telah diterima yang merangkumi pelbagai jenis persembahan seperti bacaan puisi, syair, nyanyian dan sebagainya yang berdurasi tidak lebih 3 minit setiap satunya.

Pemenang Tempat Pertama akan memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM500.00, diikuti RM300.00 bagi Tempat Kedua dan RM200.00 bagi Tempat Ketiga. Hadiah saguhati berjumlah RM100.00 setiap seorang akan diberikan kepada 7 peserta yang terpilih. Senarai pemenang bagi tiga peserta terbaik adalah seperti berikut:

  1. Tempat Pertama : Ayuni Amani Ahmad Zaki

Tingkatan 1 – SMK Bagan Terap, Sungai Besar

  1. Tempat Kedua : Mohammed Ady Hakim

Tingkatan 4 SMK Telok Datok, Banting

  1. Tempat Ketiga : Wan Nursyasya Wan Mohd Khairul Nizam

Tingkatan 2 – SMK Seri Garing, Rawang

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Semoga nilai jati diri dan semangat patriotisme akan terus dipupuk dalam kalangan generasi muda khususnya dalam menghadapi situasi penuh cabaran di masa-masa akan datang.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”
“SELANGOR MAJU BERSAMA”
#MalaysiaPrihatin
YAYASAN SELANGOR
6 September 2021

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

2021-09-06T14:54:31+08:00
Yayasan Selangor
en_GB