KENYATAAN MEDIA : 400 PELAJAR DIRAIKAN MENERUSI ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN YAYASAN SELANGOR

Yayasan Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan modal insan berkualiti apabila seramai 400 pelajar diraikan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Yayasan Selangor bagi Sesi Akademik 2023 dan 2024.

Daripada jumlah tersebut, seramai 179 pelajar menerima anugerah bagi Sesi Akademik 2023, manakala 221 pelajar diraikan menerusi 13 kategori anugerah bagi Sesi Akademik 2024. Majlis berkenaan turut menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada 12 mahasiswa yang berjaya memperoleh Biasiswa Future Leaders YTM–YS menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad berkata, penganjuran majlis berkenaan menjadi wadah rasmi untuk meraikan dan mengiktiraf kesungguhan anak-anak Selangor yang telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam bidang pendidikan. Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan hanya berdasarkan keputusan peperiksaan, malah turut mencerminkan disiplin, ketekunan, daya tahan dan pengorbanan para pelajar sepanjang perjalanan pendidikan mereka.

“Yayasan Selangor sentiasa meletakkan pendidikan sebagai teras utama dalam usaha membangunkan modal insan Negeri Selangor. Pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai kerana melalui pendidikan, kita bukan sahaja mengubah masa hadapan seseorang pelajar, malah turut mengubah kehidupan keluarga dan masyarakatnya.“Kami komited untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut berilmu, berintegriti, berdaya saing, berjiwa empati serta bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa pendidikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberikan perhatian kepada pembangunan akademik, pembentukan sahsiah, penguasaan teknologi, kemahiran kepimpinan dan persediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan. Katanya, perkembangan ekonomi digital, kecerdasan buatan, automasi serta kemunculan bidang pekerjaan baharu menuntut generasi muda supaya lebih tangkas menyesuaikan diri, menguasai kemahiran masa hadapan dan berani meneroka peluang yang lebih luas.

“Selangor sedang berkembang sebagai sebuah negeri maju, pintar dan berdaya saing. Justeru, kita perlu memastikan anak-anak Selangor bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan tersebut, sebaliknya dipersiapkan untuk menjadi tenaga profesional, teknokrat, penyelidik, usahawan dan pemimpin yang akan mencorakkan masa hadapan negeri.

“Yayasan Selangor akan terus memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan, sektor korporat dan pemain industri bagi menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran, tajaan, pembangunan bakat serta pendedahan kerjaya kepada anak-anak Selangor,” katanya. Menurut beliau, kejayaan penerima turut membuktikan keberkesanan sokongan pendidikan yang dilaksanakan Yayasan Selangor melalui program pembangunan akademik dan bakat, termasuk Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor (RKPYS) dan Program High Potential Students (HIPERS).

Program-program tersebut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan Selangor untuk mengenal pasti potensi pelajar, menyediakan intervensi pendidikan yang bersesuaian serta membantu mereka mencapai kecemerlangan tanpa dibatasi latar belakang sosioekonomi.

Penganjuran Majlis AKP mencerminkan iltizam Yayasan Selangor dalam mendukung agenda Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap anak Selangor, tanpa mengira latar belakang keluarga dan kedudukan sosioekonomi, mendapat peluang yang adil untuk mengakses pendidikan berkualiti serta mengembangkan potensi mereka.

Yayasan Selangor akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan negeri menerusi pendekatan yang lebih inklusif, berimpak tinggi dan berorientasikan masa hadapan, sejajar dengan aspirasi melahirkan generasi Selangor yang berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing pada peringkat nasional serta global..

Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor | Tarikh : 26 September 2026

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

2026-09-26T20:15:48+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY