KENYATAAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR PERKASA AGENDA PEMBANGUNAN MAMPAN MELALUI PELANCARAN GERAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI SELidik 2026

Hari ini menandakan satu lagi pencapaian signifikan buat Negeri Selangor apabila Yayasan Selangor, menerusi STANDCO Pendidikan Negeri, secara rasminya melancarkan Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Negeri Selangor yang dikenali sebagai SELidik bagi tahun 2026.

Untuk pelancaran kali ini, fokus utama diberikan kepada dua universiti milik kerajaan negeri iaitu Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) dengan nilai geran berjumlah RM 2.5 Juta. Selain itu, terdapat juga peruntukan tambahan sebanyak RM 1 juta untuk geran penyelidikan yang dikhususkan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa penganjuran program SELidik ini adalah manifestasi jelas terhadap komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan negeri secara mampan dan inklusif. Beliau menyatakan, “Geran SELidik ini bukan sekadar satu bentuk bantuan kewangan, malah ia merupakan pelaburan strategik bagi masa depan Selangor. Kita mahu para penyelidik tempatan, khususnya daripada institusi pengajian tinggi, untuk tampil dengan idea-idea bernas serta penemuan baharu yang mampu memberikan solusi nyata terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat dan negeri.” Harapan beliau adalah agar sinergi antara badan penyelidik dengan agensi kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan setiap hasil kajian dapat diterjemahkan kepada polisi pembangunan yang lebih progresif dan berkesan.

Majlis hari ini turut menyaksikan detik penuh makna apabila surat tawaran geran disampaikan secara rasmi kepada para penyelidik yang telah berjaya melalui proses penilaian serta saringan yang ketat. Pengiktirafan ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap kesungguhan mereka dalam menghasilkan cadangan penyelidikan yang berkualiti dan selari dengan agenda pembangunan Negeri Selangor.

Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor | Tarikh : 11 Ogos 2026

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

2026-08-11T11:09:20+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY