KENYATAAN MEDIA YAYASAN SELANGOR PERKASA AKSES PENDIDIKAN : 496 MURID TINGKATAN 1 DITERIMA SERTAI PROGRAM RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR (RKPYS) TAHUN 2026
Seramai 496 orang murid Tingkatan 1 dari seluruh Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang memenuhi kriteria kelayakan telah dipilih secara rasmi untuk ditempatkan di 28 buah sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor (YS) bagi mengikuti Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Pemilihan murid-murid ini mencerminkan komitmen berterusan YS, selari dengan dasar dan hala tuju Kerajaan Negeri Selangor, dalam memperluas akses pendidikan berkualiti secara inklusif, khususnya kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita kurang daripada RM2,000.
Pada masa sama, murid terpilih turut memenuhi keperluan akademik minimum apabila memperoleh sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3 (TP3) bagi semua mata pelajaran dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6.
Kesemua murid berjaya mendaftar di sekolah-sekolah yang ditawarkan di sekitar Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur berdasarkan kuota dan penempatan strategik yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi memastikan pengagihan peluang pendidikan adil dan seimbang.
Bagi murid yang ditempatkan di asrama pusat YS, iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam, proses pendaftaran dilaksanakan masing-masing pada 9 dan 11 Januari 2026. Sesi persekolahan bagi murid RKPYS bermula pada 12 Januari 2026, selaras dengan takwim dan ketetapan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Untuk rekod, pengambilan murid RKPYS tahun ini mencatatkan sambutan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 3,184 permohonan telah diterima. Proses permohonan yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dibuka pada 22 September 2025 dan ditutup pada 15 Oktober 2025, manakala semakan keputusan permohonan dibuka dari 10 Disember hingga 31 Disember 2025.
Bagi murid yang tidak terpilih dan telah mengemukakan permohonan rayuan, keputusan rayuan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya tertakluk kepada kekosongan penempatan serta dasar sedia ada yang ditetapkan.
Program RKPYS dianjurkan oleh YS sejak tahun 1971 merupakan antara inisiatif pendidikan teras YS dalam melahirkan modal insan berdaya saing dan berpotensi tinggi, khususnya dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Pelaksanaan program ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada dasar dan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk keperluan akademik, serta Dasar RKPYS yang digariskan oleh YS.
Murid-murid yang ditawarkan menyertai program ini akan menikmati pelbagai keistimewaan antaranya kemudahan asrama, tajaan biasiswa, kelas bimbingan berfokus, program kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah dan kendiri.
Bagi memastikan kebajikan dan prestasi murid sentiasa terpelihara, YS turut melantik guru penyelaras di setiap sekolah tajaan untuk memantau perkembangan akademik dan kesejahteraan murid secara berterusan.
Dikeluarkan oleh;
Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor
Tarikh : 13 Januari 2026
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my
Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 016 921 2474 / 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com.