KENYATAAN MEDIA | 460 MURID DITAWAR PROGRAM RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA-YAYASAN SELANGOR (RKPYS) 2026
Yayasan Selangor (YS) kini membuka permohonan kemasukan murid ke Tingkatan 1 Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) 2026, dengan menyediakan 460 tempat untuk murid berkelayakan.
Program ini terbuka kepada murid Tahun 6 tahun 2025 yang memenuhi syarat kelayakan termasuk memperoleh sekurang-kurangnya TP3 bagi semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia atau sekolah swasta berdaftar, serta keutamaan diberikan kepada murid luar bandar.
Selain itu, pemohon atau ibu bapa mestilah lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun, warganegara Malaysia, serta daripada keluarga berpendapatan per kapita kurang RM2,000 sebulan.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian mulai 22 September hingga 8 Oktober 2025 melalui laman rasmi YS di www.yayasanselangor.org.my. Pemohon perlu mencetak borang permohonan yang telah diisi dan menghantarnya bersama dokumen sokongan ke Bahagian Pengurusan Operasi Pendidikan YS selewat-lewatnya 10 Oktober 2025 melalui serahan tangan atau pos.
Murid yang terpilih akan menikmati kemudahan lengkap seperti asrama, biasiswa pendidikan, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri, serta pemantauan berterusan oleh guru berpengalaman.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1971, RKPYS dilaksanakan melalui kerjasama erat antara YS, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program ini menjadi salah satu inisiatif unggul YS dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdaya kepimpinan serta berdisiplin tinggi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Yayasan Selangor atau menghubungi talian 03-7669 1218 / 1250 / 1217 / 1211 / 1150 / 1141 / 1158.
Bahagian Komunikasi Korporat
Yayasan Selangor
18 September 2025
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my
Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 016 921 2474 / 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com.