KENYATAAN MEDIA: KERAJAAN SELANGOR MELALUI YAYASAN SELANGOR SEDIA PERUNTUKAN BERJUMLAH RM700,000 LAKSANA PROGRAM E-BAUCAR BUKU SISWA #KITASELANGOR DAN PROGRAM INTERNSHIP MAHASISWA SELANGOR (SISPRO) 2024

Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Selangor terus komited dalam memberdaya agenda pendidikan menerusi dua inisiatif yang dilancarkan pada hari ini iaitu pelaksanaan pemberian e-baucar buku secara percuma dan juga tawaran pembiayaan latihan industri kepada mahasiswa Selangor dengan dana keseluruhan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM700,000. Usaha yang komprehensif ini dijana demi meningkatkan kualiti pendidikan dan memberi peluang yang lebih baik kepada mahasiswa Selangor mendepani cabaran dalam menanggung kos dan keperluan sepanjang tempoh pengajian. Pelaksanaan Program E-Baucar Buku Siswa #KitaSelangor 2024 telah mendapat kerjasama yang erat daripada rakan-rakan strategik Stanco Pendidikan Negeri Selangor yang terdiri daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Perbadanan Kota Buku, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) Nasional. Pemberian e-baucar buku ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menyantuni golongan mahasiswa dengan tekad untuk membentuk ekosistem pendidikan negeri yang mapan. Melaluinya, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa Selangor untuk membeli bahan bacaan pengajian sekali gus memupuk minat mahasiswa untuk membaca buku-buku ilmiah. Untuk rekod, program e-baucar buku siswa #KitaSelangor ini telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan penambahan peruntukan sebanyak RM200,000 menjadikan peruntukan keseluruhan untuk tahun ini adalah berjumlah RM400,000 melibatkan seramai 2,000 orang mahasiswa Selangor yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara. Salah satu nilai tambah program pada tahun ini adalah mahasiswa Selangor yang menerima baucar ini boleh menebus e-baucar buku siswa #KitaSelangor di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang telah bermula pada 27 November 2024 hingga 3 Disember 2024 selain turut boleh menebus secara dalam talian di laman sesawang Bookcapital.com.my.

Selain itu, Yayasan Selangor turut diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam menerajui Program Selangor Internship Student Programme (SISPRO) yang merupakan program pembiayaan latihan industri dalam kalangan mahasiswa anak negeri Selangor. Usaha ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjaga kebajikan mahasiswa anak negeri Selangor yang akan menjalankan program latihan industri bagi melengkapkan syarat kursus pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara. Program ini juga adalah merupakan salah satu intipati daripada teras pendidikan di dalam Belanjawan Selangor 2024 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dimana dana sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk program pada tahun ini.Majlis pelancaran bagi kedua-dua program berkenaan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor bersempena Majlis Penutup Selangor Education Summit 2024 pada 1 Disember 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini.

Yayasan Selangor
1 Disember 2024

2024-12-16T17:04:23+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY