KENYATAAN MEDIA: KERAJAAN SELANGOR MELALUI YAYASAN SELANGOR SEDIA PERUNTUKAN BERJUMLAH RM700,000 LAKSANA PROGRAM E-BAUCAR BUKU SISWA #KITASELANGOR DAN PROGRAM INTERNSHIP MAHASISWA SELANGOR (SISPRO) 2024

Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Selangor terus komited dalam
memberdaya agenda pendidikan menerusi dua inisiatif yang dilancarkan pada hari ini
iaitu pelaksanaan pemberian e-baucar buku secara percuma dan juga tawaran
pembiayaan latihan industri kepada mahasiswa Selangor dengan dana keseluruhan
yang diperuntukkan adalah sebanyak RM700,000. Usaha yang komprehensif ini
dijana demi meningkatkan kualiti pendidikan dan memberi peluang yang lebih baik
kepada mahasiswa Selangor mendepani cabaran dalam menanggung kos dan
keperluan sepanjang tempoh pengajian.
Pelaksanaan Program E-Baucar Buku Siswa #KitaSelangor 2024 telah mendapat
kerjasama yang erat daripada rakan-rakan strategik Stanco Pendidikan Negeri
Selangor yang terdiri daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor,
Perbadanan Kota Buku, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri
Selangor, Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan Persatuan Mahasiswa
Selangor (PERMAS) Nasional.
Pemberian e-baucar buku ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk
menyantuni golongan mahasiswa dengan tekad untuk membentuk ekosistem
pendidikan negeri yang mapan. Melaluinya, bantuan ini bertujuan untuk meringankan
beban mahasiswa Selangor untuk membeli bahan bacaan pengajian sekali gus
memupuk minat mahasiswa untuk membaca buku-buku ilmiah.
Untuk rekod, program e-baucar buku siswa #KitaSelangor ini telah memasuki tahun
kedua pelaksanaannya dengan penambahan peruntukan sebanyak RM200,000
menjadikan peruntukan keseluruhan untuk tahun ini adalah berjumlah RM400,000
melibatkan seramai 2,000 orang mahasiswa Selangor yang sedang melanjutkan
pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Salah satu nilai tambah program pada tahun ini adalah mahasiswa Selangor yang
menerima baucar ini boleh menebus e-baucar buku siswa #KitaSelangor di Pesta
Buku Antarabangsa Selangor yang telah bermula pada 27 November 2024 hingga 3
Disember 2024 selain turut boleh menebus secara dalam talian di laman sesawang
Bookcapital.com.my.

Selain itu, Yayasan Selangor turut diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor
dalam menerajui Program Selangor Internship Student Programme (SISPRO) yang
merupakan program pembiayaan latihan industri dalam kalangan mahasiswa anak
negeri Selangor. Usaha ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjaga kebajikan
mahasiswa anak negeri Selangor yang akan menjalankan program latihan industri
bagi melengkapkan syarat kursus pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi
pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Program ini juga adalah merupakan salah satu intipati daripada teras pendidikan di
dalam Belanjawan Selangor 2024 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri
Besar Selangor dimana dana sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk
program pada tahun ini.
Majlis pelancaran bagi kedua-dua program berkenaan telah disempurnakan oleh YAB
Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor bersempena Majlis Penutup
Selangor Education Summit 2024 pada 1 Disember 2024 di Pusat Konvensyen Setia
City, Setia Alam, di sini.
Yayasan Selangor
1 Disember 2024

2024-12-02T09:31:38+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY