KENYATAAN MEDIA YAYASAN SELANGOR MEMBUKA PERMOHONAN BAGI PENGAMBILAN MURID KE TINGKATAN 1 TAHUN 2025 RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR
Yayasan Selangor sedang membuka permohonan bagi kemasukan murid ke Tingkatan 1 Tahun 2025 Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) mulai 04 November 2024 (Isnin) kepada murid Tahun 6 / 2024 yang layak mengikut kriteria ditetapkan seperti berikut:-
- Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 untuk semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah.
- Bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia atau sekolah swasta yang berdaftar di Kementerian Pendidikan Malaysia (keutamaan untuk murid luar bandar).
- Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun (pemastautin mesti mengisi Borang Pengesahan Pemastautin).
- Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita (pendapatan ibu bapa bahagi jumlah tanggungan) kurang RM2000.00 sebulan.
- Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia.
Bermula pada 04 November 2024, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my. Tarikh akhir permohonan adalah pada 19 November 2024. Pemohon hendaklah mencetak borang permohonan yang telah diisi dalam talian dan dihantar berserta dengan dokumen yang diperlukan ke Unit Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 22 November 2024. Untuk maklumat lanjut berkaitan permohonan, boleh dirujuk di laman sesawang yang sama atau diminta untuk menghubungi pegawai kami di talian 03-7669 1218 / 1158 / 1118.
Sebagai makluman, pelbagai kemudahan ditawarkan kepada murid yang terpilih termasuk kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik. Hal ini selaras dengan visi yang ingin dicapai oleh Yayasan Selangor iaitu “Menyediakan Prasarana Pendidikan Yang Efektif Dalam Membentuk Generasi Insan Kamil”. Visi ini akan terus diperkasa demi mendukung lonjakan agenda pendidikan negeri.
Semua murid Tahun 6 / 2024 negeri Selangor yang berkelayakan adalah dipersilakan untuk memohon tertakluk kepada syarat dan had kuota penempatan yang telah ditetapkan.
Yayasan Selangor
06 November 2024
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my