SIARAN MEDIA : 429 MURID TINGKATAN 1 TERIMA TAWARAN YAYASAN SELANGOR KE PROGRAM RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR SESI 2023 / 2024
Seramai 429 orang murid Tingkatan 1 dari seluruh Selangor yang layak telah terpilih untuk ditempatkan ke 27 buah sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor (YS) bagi mengikuti Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) sesi persekolahan tahun 2023/2024.
Murid-murid yang terpilih ini terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu pendapatan perkapita kurang daripada RM2,000 dan mendapat sekurang-kurangnya TP 3 di dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah.
Manakala, 27 buah sekolah itu membabitkan sekolah di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bangi, SMK (P) Methodist Klang, SMK Aminuddin Baki KL dan Victoria Institution KL. Sesi persekolahan telah bermula pada hari ini 20 Mac 2023 mengikut ketetapan yang digariskan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pendaftaran bagi murid di asrama pusat YS iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam telah dijalankan pada 17 dan 19 Mac 2023. Untuk rekod, sejumlah 3,585 permohonan telah diterima untuk pengambilan kali ini yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.
Program ini telah dianjurkan oleh YS sejak tahun 1971 dan mensasarkan murid berpotensi daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelaksanaan program ini tertakluk kepada Dasar / Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (merangkumi syarat akademik) dan Dasar RKPYS yang ditetapkan oleh YS.
Murid-murid yang ditawarkan ke program ini akan mendapat keistimewaan seperti kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri. YS komited dengan melantik seorang guru penyelaras bagi memantau pencapaian dan kebajikan murid di setiap sekolah tajaannya.
Yayasan Selangor
20 Mac 2023
Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”. Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my



