318 MURID TINGKATAN 1 TERIMA TAWARAN YAYASAN SELANGOR  KE PROGRAM RANCANGAN KHAS PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – YAYASAN SELANGOR

Seramai 318 orang murid Tingkatan 1 dari seluruh Selangor yang layak telah terpilih untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor bagi mengikuti Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023. Murid-murid yang terpilih merupakan mereka yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu pendapatan perkapita kurang daripada RM2,000 dan mendapat sekurang-kurangnya TP 3 di dalam semua matapelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah.

Murid telah mendaftar di sekolah yang ditawarkan mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri iaitu 4 April 2022 bagi murid yang ditempatkan di sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 11 April 2022 bagi yang bersekolah di Negeri Selangor.

Pendaftaran murid di asrama pusat Yayasan Selangor iaitu Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam telah dijalankan pada 9 dan 10 April 2022.

Sejumlah 3,838 permohonan telah diterima untuk pengambilan kali ini yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Program ini telah dianjurkan oleh Yayasan Selangor sejak tahun 1971 dan mensasarkan murid berpotensi daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelaksanaan program ini tertakluk kepada Dasar/ Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (merangkumi syarat akademik) dan Dasar RKPYS yang ditetapkan oleh Yayasan Selangor.

Murid-murid yang ditawarkan ke program ini akan mendapat keistimewaan seperti kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri. Yayasan Selangor komited dengan melantik seorang guru penyelaras bagi memantau pencapaian dan kebajikan murid di setiap sekolah tajaannya.

Yayasan Selangor | 12 April 2022

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi  Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

2022-04-12T11:47:00+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY