SIARAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR BANTU MURID, GURU DAN SEKOLAH MANGSA BANJIR

Banjir besar yang melanda di beberapa kawasan di Selangor pada Disember 2021 telah lama surut dan kehidupan mangsa telah kembali normal, namun tidak dinafikan bahawa ramai antara mereka masih merasai kesan buruk akibat banjir itu khususnya dengan kemusnahan dan kerugian harta benda yang mereka alami.

Ramai yang kehilangan hampir keseluruhan rumah dan isinya, tidak kurang juga yang masih bergelut membina semula kehidupan pasca banjir.

Seramai 244 orang murid, 7 orang guru dan 8 buah sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor telah terlibat menjadi mangsa banjir pada kali ini. Kehidupan mereka terjejas kerana kerosakan harta benda seperti rumah, kelengkapan dan perabot, pakaian, buku, kenderaan dan lain-lain. Rata-rata murid tajaan Yayasan Selangor merupakan keluarga yang berpendapatan rendah iaitu perkapita kurang daripada RM2,000.00 sebulan.

Yayasan Selangor berasa amat terpanggil dan simpati kepada kebajikan murid-murid tajaan, keluarga, guru-guru serta sekolah yang menjadi mangsa bencana ini dan berusaha untuk membantu meringankan beban yang mereka tanggung.

Melalui sokongan dan sumbangan daripada rakan-rakan yayasan serta korporat yang prihatin, Yayasan Selangor telah berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM72,500.00 untuk disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat melalui Tabung Pendidikan Yayasan Selangor. Antaranya adalah sumbangan yang diterima daripada Yayasan Kelantan Darulnaim dan TWA(Malaysia) Sdn. Bhd.

Menurut Tuan Hj Azi Rahimee Hj. Mohammed, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) semasa menyampaikan sumbangan berkata bahawa mereka amat bersimpati di atas bencana yang menimpa rakyat Selangor khususnya golongan murid dan pendidik yang terkesan akibat banjir. Kejadian ini mengingatkan kembali memori banjir besar ‘bah kuning’ yang melanda Kelantan pada tahun 2014. Mereka dapat merasai apa yang mangsa banjir di Selangor alami akibat bencana ini dan bantuan daripada semua pihak amatlah ditagih bagi membantu mereka bangkit selepas bencana ini. Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban kepada keluarga mangsa, khususnya dalam membantu mereka membuat persiapan bagi sesi persekolahan akan datang. YAKIN menyampaikan sumbangan ini terus kepada Yayasan Selangor sebagai agensi pendidikan Kerajaan Negeri Selangor yang akan memastikan bantuan disalurkan terus kepada murid, guru dan sekolah yang terkesan.

Yayasan Selangor merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang serta mengalu-alukan kerjasama strategik dengan rakan-rakan korporat prihatin dalam usaha mereka memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada murid-murid yang memerlukan di negeri Selangor.

Pada 1 Mac 2022, Yayasan Selangor telah menyampaikan ‘mock cheque’ sumbangan bernilai RM56,000.00 kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan RM16,500.00 kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor untuk diagihkan kepada murid, guru dan sekolah yang terkesan di bawah pengurusan mereka di dalam Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Murid Tajaan Yayasan Selangor di Shah Alam.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”

“SELANGOR MAJU BERSAMA”

Yayasan Selangor

1 Mac 2022

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi  Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

2022-03-02T09:16:02+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY