Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia Program RKPYS Aliran Kebangsaan

Noor Chahaya merupakan nama indah yang dipilih oleh pasangan suami isteri En. Mat Saman bin Silom dan Pn. Misni binti Ahmad Johari dalam menamakan puteri bongsu daripada 4 orang adik beradik ini yang dilahirkan pada tanggal 8 Julai 2002. Bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tok Khalifah, beliau berjaya merangkul pencapaian terbaik dalam UPSR dengan pencapaian 5A.

Meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Bagan Terap, beliau berjaya meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang dalam UPSR dengan kejayaan cemerlang 10A (‘straight A’) di peringkat PT3. Beliau sekali lagi berjaya menzahirkan pencapaian gemilang di bidang akademik dengan pencapaian 10A (GPP 0.5) dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2019. Beliau juga pernah diangkat sebagai 10 Terbaik ‘Brain Bee Challenge’ Peringkat Negeri.

Kecemerlangan beliau di bidang akademik turut diakui dengan pelantikan beliau sebagai Exco Akademik Asrama. Selain itu, beliau juga diberi kepercayaan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Persatuan Puteri Islam.

Beliau kini menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam kursus ijazah Sarjana Muda Psikologi bagi menggapai cita-cita yang telah lama terpahat di sanubarinya sebagai seorang pakar psikologi.

2022-01-05T17:39:04+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY