SIARAN MEDIA : YAYASAN SELANGOR BUKA TAWARAN BANTUAN PEMBIAYAAN PINJAMAN PELAJARAN BOLEH UBAH SESI SEPTEMBER 2021

Yayasan Selangor dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa tawaran bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah bagi Sesi September 2021 telah dibuka dengan rasminya.

Tawaran bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah ini dibuka kepada semua rakyat negeri Selangor yang sedang belajar ataupun yang telah menerima tawaran mengikuti pengajian secara SEPENUH MASA di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS milik Kerajaan Negeri Selangor) tempatan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Pembiayaan yang ditawarkan ini adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah tanpa faedah dikhususkan hanya kepada pemohon dalam kalangan warganegara Malaysia dan rakyat negeri Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.

Pemegang Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah Yayasan Selangor berpeluang untuk mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pelajaran sehingga 100% daripada jumlah pembiayaan sekiranya mereka dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam tempoh yang sepatutnya, tertakluk kepada terma dan syarat.

Tawaran ini adalah dibuka untuk permohonan bermula pada 1 September 2021 sehingga 30 September 2021. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat, kaedah dan borang permohonan, sila layari laman web rasmi Yayasan Selangor di pautan www.yayasanselangor.org.my.

Semua rakyat negeri Selangor yang berkelayakan adalah dipersilakan untuk memohon tertakluk syarat dan had peruntukan yang ditetapkan.

“PENDIDIKAN UNGGUL : MENGUPAYA INSAN, MEREALISASI WAWASAN”

“SELANGOR MAJU BERSAMA”

Yayasan Selangor

31 Ogos 2021

 __________________________________________________________________________________

Yayasan Selangor telah ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965. Objektif penubuhannya adalah untuk memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia khasnya di negeri Selangor yang kurang kemampuan tetapi berpotensi. Sehingga kini, Yayasan Selangor terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia di negeri Selangor melalui program-program pendidikan anjurannya selaras dengan visinya untuk “menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil”.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan Selangor boleh diperolehi di www.yayasanselangor.org.my

Untuk maklumat lanjut berkenaan siaran media ini, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Selangor di talian 03-76691 118 / 210 / 117, email: kke@yselangor.com

2021-08-31T17:44:07+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY