Kaca Mata Pengerusi 2025-08-04T10:40:51+08:00

Perutusan Pengerusi Yayasan Selangor

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Kita Selangor Maju Bersama. 

Lafaz kesyukuran diucapkan atas nikmat dan peluang yang diberikan sehingga membolehkan kita menerbitkan Laporan Tahunan Yayasan Selangor 2024. Bagi pihak Yayasan Selangor, saya dengan sukacitanya membentangkan Laporan Tahunan Yayasan Selangor 2024 ini. Laporan tahunan ini dirangka sebagai medium kompilasi yang memaparkan aktiviti tahunan Yayasan Selangor secara keseluruhan dan ia dapat dijadikan sebagai bahan pengetahuan dan rujukan buat semua rakan sinergi dan pemegang taruh.  

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Yayasan Selangor terus melangkah gagah sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan negeri. Tahun 2024 menyaksikan Yayasan Selangor meneruskan legasi kecemerlangannya, bukan sahaja sebagai pemacu peluang pendidikan untuk anak-anak Selangor, malah sebagai entiti yang memperkukuh mobiliti sosial dan keadilan pendidikan.  

Komitmen Berterusan Memartabatkan Pendidikan Anak Bangsa 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT mengurniakan kekuatan dan iltizam kepada kita semua dalam meneruskan perjuangan memartabatkan pendidikan di negeri Selangor. Tahun 2024 merupakan lembaran signifikan bagi Yayasan Selangor sebagai pemangkin kepada agenda pendidikan negeri yang inklusif dan progresif. Sebagai sebuah institusi yang telah berbakti selama berdekad, Yayasan Selangor terus komited melaksanakan mandat sosial dengan berpaksikan prinsip keadilan pendidikan dan pembinaan modal insan. 

Tahun ini menyaksikan beberapa pencapaian membanggakan hasil usaha berterusan pihak pengurusan dan sokongan berstruktur daripada Kerajaan Negeri. Antara pencapaian utama termasuk jumlah pelajar cemerlang menerima manfaat biasiswa dan kejayaan program-program pembangunan pendidikan diterajui Yayasan serta program-program Kerajaan Negeri yang dijayakan oleh Yayasan Selangor sebagai agensi pelaksana pendidikan negeri. Kejayaan ini jelas mencerminkan kesungguhan kita dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. 

Yayasan Selangor terus menzahirkan impak positif dalam pencapaian akademik pelajar-pelajarnya di semua peringkat. Kerjasama strategik dilaksanakan adalah melalui penajaan Biasiswa Future Leaders merupakan program kerjasama antara Yayasan Telekom Malaysia dan Yayasan Selangor. Menerusinya, pelajar-pelajar terpilih dan di taja ini adalah dalam kalangan pelajar cemerlang dalam bidang teknologi dan digital dari pelbagai universiti serata Malaysia dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK/CGPA) minimum 3.30. 

Selain itu, kejayaan pelbagai inisiatif pendidikan ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama strategik antara Yayasan Selangor dengan pihak berkepentingan lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerjasama erat ini memastikan setiap dasar pendidikan diselaraskan secara berkesan dan manfaatnya sampai kepada rakyat secara adil dan menyeluruh. 

Pelaksanaan beberapa program besar telah memperkukuh kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan besar. Inisiatif ini bukan sahaja menekankan aspek akademik tetapi turut memperkasa pelajar dari segi pengurusan masa, ketahanan mental dan strategi pembelajaran berkesan. 

Menjulang Aspirasi Negeri Selangor Melalui Pelaksanaan Tindakan Nyata 

Aspirasi Selangor sebagai negeri berdaya saing dan berpengetahuan diterjemahkan melalui tindakan berfokus Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti. Strategi inklusif yang diambil termasuk perluasan program BITARA, pengenalan program-program baharu, pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta penerapan teknologi pendidikan dalam ekosistem pembelajaran pelajar-pelajar. 

Menyedari peranan penting pendidikan dalam membina generasi masa depan, Yayasan Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dengan memberi tumpuan kepada akses pendidikan menyeluruh, merangkumi aspek kewangan, kemudahan, digitalisasi serta pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar. 

Antara program utama yang menjadi tunjang kepada usaha pendidikan inklusif Yayasan Selangor ialah pemberian biasiswa dan dermasiswa melalui Program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor Kementerian Pendidikan Malaysia (RKPYS) kepada pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah. Program ini merangkumi tajaan biasiswa kepada pelajar daripada Tingkatan 1 sehingga ke Tingkatan 5 termasuk kemudahan asrama, program-program akademik, program jati diri dan lain-lain. Bantuan ini amat signifikan dalam memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan.  

Program Seminar Skor A+ SPM 2024 dilaksanakan dengan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melibatkan ke semua sembilan daerah di negeri ini dengan capaian jumlah keseluruhan penglibatan murid adalah seramai 1,029 calon SPM dari 66 buah sekolah. Penganjuran program ini merupakan inisiatif komprehensif dalam menyediakan platform terbaik kepada calon peperiksaan SPM 2024 dan bagi meningkatkan kemahiran murid untuk menjawab soalan peperiksaan SPM dengan kaedah dan teknik menjawab yang betul. Objektif penganjuran seminar juga bertujuan untuk meningkatkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) peratus Layak Mendapat Sijil (LMS) peratus murid cemerlang dalam SPM 2024 khususnya dalam kalangan pelajar tajaan Yayasan Selangor. 

Pencapaian bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023 menunjukkan hasil memberangsangkan dengan pencapaian 62% pelajar tajaan Yayasan Selangor berjaya memperolehi 5A dan ke atas daripada keseluruhan calon iaitu seramai 695 pelajar. Saya percaya pada tahun 2024, pencapaian ini akan terus meningkat. 

Selain itu, Yayasan Selangor turut komited dalam menyalurkan tajaan kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di lnstitusi Pengajian Tinggi (IPT). Bantuan kewangan disediakan untuk menanggung kos pengajian, elaun sara hidup dan sokongan akademik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. 

Usaha tidak pernah mengkhianati hasil, segala usaha berterusan semestinya menjelmakan hasil berterusan. Hal ini telah dibuktikan menerusi kejayaan seramai 46 orang pelajar Yayasan Selangor yang bergraduat dengan pencapaian ljazah Kelas Pertama dengan nilai tajaan sebanyak RM882,650.00. Secara keseluruhannya, usaha gigih Yayasan Selangor dalam menyediakan peluang pendidikan inklusif bukan sahaja membuktikan keprihatinan terhadap masa depan generasi muda, malah turut menyumbang ke arah membina masyarakat berilmu, progresif dan berdaya saing di peringkat global. 

Keutuhan Kewangan: Asas Kestabilan dan Keberlanjutan Operasi 

Usaha penstrukturan semula aliran perbelanjaan, pemantauan ketat ke atas pelaburan dan perolehan serta peningkatan kecekapan operasi memberikan pulangan positif kepada organisasi. Keutuhan kewangan bukan sahaja menjamin kelangsungan program semasa, malah membolehkan Yayasan Selangor melaksanakan inisiatif baharu dengan lebih berani dan terancang. 

Keutuhan kewangan merupakan tunjang penting dalam memastikan kestabilan operasi sesebuah organisasi. Dalam persekitaran ekonomi semakin mencabar, pengurusan kewangan yang cekap dan berhemat serta menjadi keutamaan bagi memastikan kelangsungan program perkhidmatan memberi impak kepada masyarakat. Keupayaan untuk menyesuaikan strategi kewangan dengan keperluan semasa menjadi asas penting dalam memastikan organisasi kekal relevan dan mampan. 

Yayasan Selangor terus meneliti dan menilai semula struktur aliran perbelanjaan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan. Usaha ini merangkumi pelaksanaan langkah-langkah kawalan kos lebih efektif, pemantauan ke atas pelaburan serta perolehan secara lebih berhemah, dan mempertingkatkan kecekapan operasi harian. Penstrukturan ini bukan sahaja bertujuan mengoptimumkan sumber sedia ada, malah mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan pengurusan dalaman. 

Meskipun berdepan dengan keterbatasan sumber kewangan, pendekatan strategik ini membantu yayasan untuk bergerak secara lebih tersusun dalam merancang inisiatif baharu. Tumpuan diberikan kepada program bersifat lestari dan mempunyai nilai pulangan sosial tinggi. Ke arah masa depan, Yayasan Selangor komited untuk terus memperkukuh asas kewangannya demi memastikan setiap usaha pembangunan modal insan dan khidmat komuniti dapat diteruskan secara konsisten dan berimpak.  

 

Menelusuri Masa Depan: Harapan dan Peranan Strategik 

Melangkah ke tahun-tahun mendatang, Yayasan Selangor diharapkan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan negeri. Dunia pendidikan sentiasa berubah memerlukan institusi seperti Yayasan untuk bersikap tangkas, adaptif, dan berpandangan jauh dalam menangani cabaran serta peluang yang muncul. Sebagai peneraju dalam membantu golongan pelajar yang memerlukan, Yayasan perlu kekal teguh dengan asas perjuangannya dan menjadikan pendidikan sebagai landasan mobiliti sosial serta transformasi masyarakat. 

Dalam menghadapi arus digitalisasi dan globalisasi, Yayasan Selangor harus proaktif dalam meneroka pendekatan baharu lebih inovatif dan inklusif. Penggunaan teknologi perlu diperkasa untuk memperluas capaian, meningkatkan akses kepada ilmu, serta mempertingkatkan keberkesanan program-program sokongan akademik. Di samping itu, pemerkasaan kemahiran insaniah dan pembangunan sahsiah turut menjadi elemen penting dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga seimbang dari segi emosi, sosial dan kepimpinan. 

Keberkesanan intervensi sosial Yayasan juga harus diperkukuh melalui pendekatan berasaskan data, kerjasama strategik dan pemantauan sistematik. Dalam era yang menuntut penyelesaian bersifat menyeluruh, kolaborasi bersama sektor awam, swasta dan komuniti menjadi kunci kepada impak yang mampan. Yayasan tidak hanya perlu bertindak sebagai penyumbang sumber, tetapi sebagai rakan strategik dalam membentuk ekosistem pendidikan inklusif dan responsif kepada keperluan semasa serta masa depan. 

Akhirnya, harapan saya adalah agar setiap pelajar di bawah naungan Yayasan Selangor diberikan peluang untuk merentasi batas impian mereka dan mencipta kejayaan dalam bidang pilihan masing-masing. Setiap individu yang dibantu adalah aset masa depan negeri dan kejayaan mereka merupakan cerminan kejayaan Yayasan secara keseluruhan. Dengan iltizam berterusan dan hala tuju jelas, saya percaya Yayasan Selangor mampu terus menjadi institusi unggul yang memberi makna kepada harapan, dan menzahirkan potensi setiap anak bangsa.  

Penghargaan dan Pengiktirafan 

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pihak pengurusan, warga kerja Yayasan Selangor, pendidik, ibu bapa serta semua rakan strategik yang telah menyumbang tenaga dan pemikiran ke arah pencapaian cemerlang ini. Pengiktirafan juga saya tujukan kepada pelajar yang gigih berusaha dan terus menjulang nama Yayasan. Sesungguhnya kejayaan ini adalah hasil kerjasama kolektif tidak ternilai. 

Marilah kita terus berganding bahu, memperkukuh asas pendidikan negeri dan memacu Yayasan Selangor ke arah masa depan yang lebih gemilang demi kemajuan rakyat dan negeri Selangor Darul Ehsan. 

 

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI 

Dato’ Menteri Besar Selangor 

Merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor 

Sumber diperoleh dari :
Buku Laporan Tahunan Yayasan Selangor 2024

HUBUNGI KAMI

+603-7669 1100

DIREKTORI

HIGHLIGHTS

BERITA TERKINI

View More
Yayasan Selangor
ms_MY