SOALAN LAZIM PERMOHONAN PINJAMAN PELAJARAN YAYASAN SELANGOR

1. Adakah pinjaman pelajaran Yayasan Selangor (YS) sama seperti di bawah Pinjaman Pelajaran yang ditawarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor?

TIDAK. YS merupakan satu organisasi yang berasingan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

2. Bagaimanakan permohonan pinjaman pelajaran YS boleh dibuat?

Permohonan pinjaman pelajaran YS hanya boleh dibuat sekiranya tawaran pinjaman pelajaran telah diiklankan di laman web YS. Borang permohonan boleh didapati secara muat turun. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan sebelum tarikh tutup permohonan.

3. Apakah syarat-syarat kelayakan permohonan?

Syarat kelayakan permohonan seperti berikut:-

1. Warganegara Malaysia.
2. Pemohon/ ibu/ bapa lahir di Negeri Selangor / di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 01 Februari, 1974 / yang telah bermastautin di Negeri Selangor lebih 10 tahun dengan mendapat pengesahan daripada ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK/Ketua Kampung.
3. Permohonan daripada keluarga yang berpendapatan per kapita di bawah RM 3,000.00 sahaja.

4. Saya sedang belajar di Semester kedua dan ingin memohon pinjaman pelajaran YS. Bolehkah saya mendapat pinjaman bermula semester pertama?

TIDAK BOLEH. Sekiranya anda memohon pada semester kedua, pinjaman Pendidikan akan diluluskan mulai semester kedua hingga tamat tempoh pengajian anda.

5. Berapakah kadar tajaan yuran tahunan yang diberikan?

Kadar tajaan yuran tahunan yang diberikan adalah mengikut peringkat pengajian dan tertakluk kepada institusi pengajian. Kadar pembiayaan pinjaman pelajaran seperti berikut;

PERINGKAT PENGAJIAN KADAR SETAHUN
Sijil Kemahiran (Institusi milik Kerajaan Negeri Selangor sahaja) RM 4,000.00 – RM 6,000.00
Diploma RM 2,000.00 – RM 7,000.00
Ijazah Sarjana Muda RM 3,000.00 – RM 8,000.00


6. Saya telah menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran/Diploma dengan mendapat pinjaman pelajaran YS. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian lanjutan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?

BOLEH. Dengan syarat jumlah keseluruhan pinjaman di peringkat Sijil/Diploma dan Ijazah Sarjana Muda tidak melebihi RM40 Ribu.

7. Saya telah menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran/Diploma dengan mendapat pinjaman pelajaran daripada PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian lanjutan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?

TIDAK BOLEH. Pinjaman pelajaran YS hanya akan ditawarkan kepada peminjam yang masih tidak mempunyai sebarang ikatan perjanjian pinjaman pelajaran dengan mana-mana agensi penajaan. Peminjam juga tidak menerima sebarang bentuk penajaan dalam bentuk biasiswa atau dermasiswa.

8. Saya telah berhenti/gagal pengajian di IPT dan ingin menyambung semula pengajian pada peringkat yang sama. Adakah saya masih boleh memohon pinjaman pelajaran YS?

BOLEH. Dengan syarat anda telah menyelesaikan sepenuhnya jumlah pinjaman yang diterima sebelum ini.

9. Saya ingin mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana/Doktor Falsafah (Phd). Bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?

TIDAK BOLEH. YS hanya menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar sehingga ke peringkat Ijazah pertama sahaja.

10. Saya telah mendapat tawaran pengajian di universiti luar negara. Bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?

TIDAK BOLEH. Pembiayaan pinjaman pelajaran YS hanya diberikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam negara sahaja.

11. Bagaimana pembayaran kepada peminjam dibuat?

Bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali setahun secara pengkreditan terus ke akaun peminjam.

Adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk membuat semua bayaran yang berkaitan seperti yuran pengajian, asrama dan lain-lain kepada IPT masing-masing.

12. Bolehkah peminjam menamatkan pembiayaan sekiranya mendapat tajaan lain?

DIBENARKAN. Peminjam perlu membuat permohonan rasmi secara bersurat kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan Yayasan Selangor. Jumlah pembiayaan yang telah diterima daripada YS hendaklah dijelaskan secara penuh sebaik sahaja surat tuntutan bayaran dikeluarkan kepada peminjam.

13. Bolehkah peminjam menerima 2 tajaan pada satu masa?

TIDAK DIBENARKAN. Pelajar tidak dibenarkan menerima sebarang tajaan lain seperti Biasiswa, Pinjaman atau Dermasiswa daripada mana-mana badan penajaan. Tawaran pinjaman pelajaran hanya diberikan kepada pelajar yang masih tiada sebarang ikatan perjanjian dengan mana-mana badan penajaan.

14. Bolehkah saya meneruskan pinjaman pelajaran sekiranya bertukar kursus / cuti belajar?

Peminjam perlu membuat permohonan bertulis kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan sekiranya bertukar kursus / cuti belajar. Kelulusan pertukaran kursus / cuti belajar (faktor kesihatan / mewakili universiti dalam sesuatu acara) yang menyebabkan ketidakhadiran di dalam sesi pembelajaran hendaklah mendapat kelulusan atau pengesahan daripada institusi berkenaan. Kelulusan untuk meneruskan/pelanjutan pembiayaan adalah tertakluk kepada pertimbangan Yayasan Selangor.

15. Apakah yang terjadi sekiranya saya tidak membuat permohonan bagi kes di atas?

Peminjam hanya akan dibiayai mengikut jumlah semester pengajian yang terlibat sahaja. Sebarang pertambahan bilangan semester pengajian atau terdapat sebarang pertambahan dalam kos pengajian tidak akan ditanggung oleh Yayasan Selangor.

2021-09-01T22:19:50+08:00
Yayasan Selangor
ms_MY