PERUTUSAN 2019-07-22T06:44:04+00:00

Perutusan Pengerusi Yayasan Selangor

Ucapan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor Tahun 2018

Tahniah dan syabas kepada Yayasan Selangor, khususnya kepada semua Ahli Jawatankuasa Majlis kerana telah bekerja keras dalam memastikan kelancaran Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor Tahun 2018. Saya percaya sesungguhnya tanpa kerjasama dan usaha yang tinggi, tidak mungkin majlis ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Majlis ini amat bermakna kerana ia adalah kesinambungan tradisi Yayasan Selangor sejak sekian lama dan memiliki signifikan yang tersendiri kepada semua pelajar di bawah tajaannya.
Cendekiawan ada menyatakan, tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Dalam era dunia globalisasi yang makin mencabar, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa dan pendidik supaya kita dapat memastikan pelajar-pelajar menjadi peneroka ilmu dan bukan sekadar menjadi pengikut semata-mata.
Kerjasama erat semua pihak terutama di antara para pendidik dan ibu bapa amatamat diperlukan supaya pelajar ini berada di landasan yang betul dan sentiasa terpelihara akhlak serta budi pekerti. Kita sangat berharap agar kejayaan pelajar dalam bidang akademik hendaklah diiringi dengan aspek keperibadian dan sahsiah yang mulia.
‘Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama’ Dalam hal ini, semua pihak sememestinya berganding bahu dan mengatur langkah berusaha bagi merealisasikan kemenjadian pelajar-pelajar. Hubungan dan gabungan yang mantap antara Yayasan Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri, pihak pentadbir Sekolah,guru-guru dan ibu bapa mampu menghasilkan jaringan kecemerlangan yang tinggi. Hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama , saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa “bagai aur dengan tebing”.
Dewasa ini, kita sedar bahawa peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar hadir ke sekolah bukan sahaja untuk belajar tetapi dididik untuk menjadi pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Kita seharusnya perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM87.64 juta atau 6.8 peratus peruntukan untuk memperkasakan aspek pendidikan. Antara program yang bakal dilaksanakan adalah Expo Pendidikan dan R&D yang akan menghimpunkan serta menampilkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang termasuk di dalam Gugusan Pendidikan.Gugusan Pendidikan ini akan menjadi suatu pelantar yang akan menumpukan kepada pemberdayaan golongan belia, kelompok akademia dan warga penyelidik memperolehi akses kepada pembelajaran dan juga penyelidikan sejajar dengan kehendak industri dan jaminan pekerjaan.
Saya menyeru pelajar yang hadir, menggalas tugas menceburi bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam merealisasikan aspirasi kerajaan Negeri Selangor agar terus berada di hadapan dalam setiap aspek. Sebelum menutup tirai, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggitinggi penghargaan dan sekalung tahniah kepada semua pelajar yang hadir bagi menerima anugerah pada majlis ini. Adalah diharapkan kejayaan yang dimiliki hari ini tidak berakhir di sini sahaja. Teruslah berusaha untuk kecemerlangan pada masa hadapan. Sesungguhnya , pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Pelajar-pelajarlah yang akan mewarisi kempimpinan negara pada masa akan datang. Dengan cabaran yang pelbagai dewasa ini, pelajar-pelajar dituntut agar sentiasa meneroka ilmu baru dan terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.
Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Yayasan Selangor kerana berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan tahun 2018. Sudah pasti sambutan Majlis Anugerah ini adalah selari dengan matlamat untuk memberi motivasi kepada para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, seterunya memberi pengiktirafan di atas kejayaan yang telah dicapai oleh semua penerima anugerah.

Sumber diperoleh dari :
www.selangorkini.my

HUBUNGI KAMI

+603-7955 1212
atau
+603-7654 1121

DIREKTORI

HIGHLIGHTS

BERITA TERKINI

View More
Do NOT follow this link or you will be banned from the site!