Perutusan Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, Yayasan Selangor akan terus komited dalam merencana, mencipta, membina dan melaksana peranan, tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam memperkasakan bidang pendidikan sejajar dengan Motto “Merakyatkan Pendidikan Selangor” yang menjadi aspirasi dalam memartabatkan taraf pendidikan khususnya di negeri ini. Yayasan Selangor juga akan sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu sistem penyampaian kepada rakyat demi memastikan masyarakat umum sentiasa peka tentang misi dan visi yang ingin dicapai. Melalui tadbir urus yang cekap dan berintegriti, saya yakin Yayasan Selangor dapat berada di tahap yang cemerlang dan di landasan yang tepat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Saya ingin menzahirkan perhargaan kepada seluruh warga kerja Yayasan Selangor kerana terus komited menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sekaligus dapat menghasilkan kualiti kerja yang efektif.

Melalui platform laman sesawang rasmi Yayasan Selangor ini, adalah menjadi harapan saya agar segala maklumat berhubung dengan fungsi dan peranan serta aktiviti-aktiviti Yayasan Selangor dapat dikongsikan kepada umum seiring dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa ini. Tambahan pula, platform ini boleh dijadikan sumber rekod atau arkib kepada setiap program dan aktiviti serta perkembangan semasa Yayasan Selangor disamping ia boleh dijadikan sumber rujukan berkaitan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Yayasan Selangor.

Dikesempatan ini, saya bersama seluruh warga kerja Yayasan Selangor akan terus berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu kerja serta perkhidmatannya agar setiap yang dirancang dapat diterjemahkan sebagai suatu pencapaian yang cemerlang merangkumi aspek pembangunan pendidikan disamping sentiasa berusaha dengan gigih dalam menjana pendapatan menerusi pelaburan komersial dan pembangunan hartanah secara optima. Sehubungan dengan itu, Insya Allah, Yayasan Selangor akan terus relevan memperjuangkan fungsinya ke tahap yang unggul dan membanggakan demi kemajuan di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Sekian, Wassalam.

 

“MERAKYATKAN PENDIDIKAN SELANGOR”

ZAHURA BINTI ZAKRY
Pemangku Pengurus Besar
Yayasan Selangor

 

Salinan Hak Cipta@Yayasan Selangor 2012. Semua Hak Cipta Terpelihara