PEMERGIAN TAN SRI AINUDDIN ABD WAHID SEORANG PEJUANG PENDIDIKAN NEGARA

Pegawai-pegawai Yayasan Selangor bersama Allahyarham semasa hayatnya

Tokoh Pendidik Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid, 83,telah kembali ke rahmatullah pada 18 Mei 2013 di kediamannya kerana sakit tua. Allahyarham menghembus nafas terakhir pada pukul 5.25 petang di rumahnya di No 3, Jalan 7, Taman Tunku Abdul Rahman (TAR) Ampang. Allahyarham meninggalkan anak sulungnya En.Saifuddin dan seorang anak perempuan Pn. Aida. Isteri Allahyarham iaitu Puan Sri Rahmah Abdul Hamid meninggal dunia pada 1989.

Allahyarham Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid merupakan seorang tokoh nasionalis yang menjadi inspirasi buku "Ainuddin Pejuang Degil Melayu" oleh Datin Fatini Yaacob. Buku ini turut dilancarkan pada awal tahun ini di Menara Yayasan Selangor Petaling Jaya yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada majlis tersebut, Yayasan Selangor juga turut melancarkan Tabung Endowmen iaitu Tabung Ainuddin Wahid untuk tujuan mengumpul dana demi memartabatkan tahap pendidikan khususnya di Negeri Selangor.

Ainuddin, berkelulusan sarjana muda kejuruteraan awam dari Universiti Bristol pada tahun 1956 dan ijazah lanjutan kejuruteraan jalan raya dari Universiti Ohio pada tahun 1961 adalah merupakan seorang anak Melayu yang pertama dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969. Beliau juga merupakan Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan beliau memainkan peranan penting dalam mentranformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972 sebelum dinaik taraf kepada UTM tiga tahun kemudian. Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor yang sehingga kini telah mengeluarkan seramai 124,000 graduan.

Jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan sangat memberi kesan yang positif kepada pembangunan pendidikan negara yang pesat. Antaranya  Allahyarham merupakan "individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam" serta memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan moral di peringkat universiti. Tambahan pula, beliau bersama Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohd Rashdan Baba telah memperkenalkan Sistem Prelim iaitu untuk tujuan mengimbangi komposisi antara kaum di Maktab Teknik dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera Melayu.

Selain itu, Jika kita menyusuri sejarah penubuhan Yayasan Selangor, Allahyarham adalah merupakan antara ‘orang penting’ yang mencetuskan idea penubuhan Yayasan Selangor bersama beberapa tokoh-tokoh yang lain seperti Allahyarham Dato’Seri Harun Idris. Ainuddin juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor yang terawal. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak turut dikenali sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Pemergian Allahyarham Ainuddin Wahid amat dirasai terutamanya dikalangan golongan pejuang pendidikan Melayu di Negara ini. Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.

 

Al-Fatihah.

 

Salinan Hak Cipta@Yayasan Selangor 2012. Semua Hak Cipta Terpelihara